27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

STAR Team Maritim Malaysia cipta sejarah sertai kursus terjunan statik bersama PASKUB bomba

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia terus mencipta sejarah apabila dua pegawainya berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air yang dikendalikan oleh Pasukan Khas Udara (PASKUB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kursus ini turut mendapat sokongan jurulatih bertauliah daripada Unit 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus intensif yang berlangsung selama hampir dua minggu bermula 10 Ogos lalu di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping, Perak, menghimpunkan seramai 15 peserta daripada pelbagai agensi keselamatan negara.

Selain dua wakil STAR Team, kursus ini turut disertai seorang pegawai dari Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM serta anggota-anggota PASKUB BOMBA.

Sepanjang tempoh latihan, peserta berjaya melaksanakan 13 penerjunan dari ketinggian 4,000 kaki menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) milik JBPM yang dikenali sebagai BOMBA 01, menjadi platform rasmi bagi latihan berkenaan.

Penyertaan ini adalah kali pertama STAR Team terbabit dalam kursus terjunan statik sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu.

Ia sekali gus menjadi pencapaian penting dalam usaha memperluas kepakaran udara serta memperkukuh keupayaan taktikal operator elit Maritim Malaysia dalam melaksanakan misi khas di perairan negara.

Antara individu yang menjadi perintis kepada penglibatan STAR Team dalam kursus ini termasuk Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor, serta Ketua Skuadron Gempur Sabah dan Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi.

Majlis pemakaian sayap kepakaran terjunan telah berlangsung dengan penuh simbolik dan penghormatan di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.

Penyampaian pengiktirafan itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad sempena Majlis Perhimpunan Bulanan jabatan itu.

Bagi pihak Maritim Malaysia, acara bersejarah itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony yang hadir mewakili kepimpinan tertinggi agensi.

Kejayaan ini dilihat sebagai titik tolak kepada kerjasama strategik antara STAR Team Maritim Malaysia dan PASKUB JBPM, sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh profesionalisme serta kesiapsiagaan aset keselamatan negara dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan cabaran di medan sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular