editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam semangat memperingati Hari Wanita Kebangsaan, Anugerah Worthy Wonder Women 2025 telah diadakan baru-baru ini dengan menampilkan barisan wanita unggul yang telah memberikan impak besar kepada masyarakat dan negara.
Dianjurkan oleh ADLA Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Semarak Cinta Kasih (Spread Love), acara ini mengetengahkan tema “Celebrating Women’s Success”, sebagai penghormatan kepada kepimpinan, ketabahan dan inspirasi wanita dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pengasas ADLA Group Sdn. Bhd. merangkap penganjur anugerah, Datin Dr. Leez Hassan berkata, penganjuran ini menekankan misi untuk menghargai “kekuatan yang tenang, daya tahan harian dan kepimpinan yang sering tidak kelihatan namun signifikan.

Menurutnya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu peringatan bahawa suara, sumbangan dan kehadiran wanita wajar diberi ruang, dihormati dan diperkasakan dalam semua sektor.
“Kita tidak hanya membawa pulang kenangan dan gambar, tetapi juga membawa pulang komitmen baharu untuk terus menyokong, membimbing dan mencipta ruang bagi wanita agar mereka dapat berkembang serta menyumbang secara maksimum dalam semua aspek kehidupan,” katanya.
Hadir menyerikan majlis, Pengerusi LPPKN dan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
Menerusi ucapannya, Rohani turut menyentuh peranan penting wanita dalam pembangunan negara, sebelum dianugerahkan Worthy Woman Icon sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan beliau dalam memperkasakan keluarga dan masyarakat, serta menjulang isu-isu berkaitan keterangkuman sosial dan kebajikan wanita.

Rohani berkata, Hari Wanita Kebangsaan, yang disambut setiap 25 Ogos, bukan sekadar satu tarikh simbolik, tetapi sebuah pengiktirafan nasional terhadap ketahanan, pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang sosial, ekonomi, budaya dan politik.
Beliau turut menyeru agar masyarakat terus memberi ruang dan peluang kepada wanita untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membina masa depan negara.
Anugerah Worthy Wonder Women 2025 turut memberi penekanan terhadap kesinambungan usaha pemerkasaan wanita melalui pelbagai inisiatif jangka panjang yang digerakkan oleh ADLA Group dan Persatuan Semarak Cinta Kasih.

Antaranya termasuklah Women Mentoring Network, Women Wellness Wellbeing, Women Lifestyle Brunch, Voice of Change, Lady Boss Retreat, dan International Work-Life Balance Forum (IWLBF).
Kesemua platform ini diwujudkan untuk menyokong pembangunan kepimpinan, kesejahteraan emosi, kesihatan menyeluruh, serta jaringan sokongan dalam kalangan wanita dari pelbagai peringkat kerjaya dan kehidupan.
Acara berkenaan juga turut menyediakan ruang untuk inspirasi dan keterhubungan.
Sesi perkongsian berimpak oleh Dr. Soo Wincci bertajuk “The Beauty of the Heart” membuka wacana tentang kepimpinan yang lahir daripada hati dan nilai kemanusiaan, manakala sesi diskusi bertajuk “The Power of Being a Worthy Woman” menampilkan tokoh-tokoh berpengaruh seperti DCP (B) Dato’ Fatimah Abdul Hamid dan Dato’ Freida Mohd Pilus, yang berkongsi cabaran dan kekuatan dalam kepimpinan wanita.

Tayangan multimedia “Celebrating Our Journey (WOMEN)” pula menjadi sorotan istimewa acara, menampilkan perjalanan kolektif wanita Malaysia yang telah mengorak langkah berani dalam pelbagai bidang dan komuniti.
Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah kepada sepuluh penerima wanita cemerlang yang dipilih berdasarkan sumbangan tulen, impak kepada masyarakat, dan komitmen kepada pembangunan insan.

Seiring dengan tema keseimbangan kehidupan dan kerjaya, acara ini turut menyaksikan pelancaran rasmi International Work Life Balance Forum 2025 (IWLBF 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025 di Corus Hotel KLCC.
Bertemakan “Beyond Balance: Building Resilient People and Responsible Businesses”, forum ini bakal menampilkan perbincangan mengenai strategi lestari dalam membina individu dan organisasi yang seimbang, berdaya tahan dan beretika.
Anugerah Worthy Wonder Women 2025 sekali lagi membuktikan bahawa apabila wanita diberi ruang untuk bersinar, seluruh masyarakat akan turut sama bersinar.
Ia bukan sahaja meraikan kejayaan, tetapi juga memperingati kekuatan dalaman, keberanian, dan belas ihsan wanita melalui nilai-nilai yang terus membentuk keluarga, komuniti dan masa depan negara.

