27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Demonstrasi Maritim Malaysia jadi tarikan utama program sua mesra KDN di Bandar Baharu

editormaxinfo@gmail.com

BANDAR BAHARU – Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bakal berlangsung di Dataran Bandar Baharu, Kedah pada 23 Ogos ini dijangka menarik perhatian ramai dengan aksi berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Demonstrasi maritim itu dirancang sebagai tarikan utama acara, memperlihatkan kecekapan dan profesionalisme anggota pasukan dalam menjalankan operasi penyelamatan dan penguatkuasaan.

Dalam pertunjukan yang menarik itu, orang ramai akan berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin milik Maritim Malaysia ke sungai di Bandar Baharu, sebelum meluncur menggunakan jetski yang telah disediakan di permukaan air.

Selain itu, pasukan perenang penyelamat atau rescue swimmer juga akan mempamerkan aksi dramatik mereka dalam misi menyelamat mangsa di air dengan bantuan pesawat yang sama, menonjolkan tahap ketangkasan dan keberanian pasukan dalam situasi kecemasan.

Selain demonstrasi maritim yang memukau, pengunjung yang hadir ke program Sua Mesra turut berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan mesra rakyat yang disediakan oleh beberapa agensi di bawah KDN.

Antaranya termasuklah tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemudahan perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, serta bas MEKAR yang disediakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan Scam Alert daripada PDRM sebagai usaha mempertingkatkan kesedaran dan keselamatan dalam masyarakat.

Program ini turut menyediakan aktiviti-aktiviti yang dekat dengan kehidupan harian masyarakat setempat.

Antaranya adalah program Jom Exchange Al-Quran, jualan produk oleh Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta khidmat gunting rambut percuma yang diadakan oleh anggota RELA.

Selain itu, suasana kemeriahan acara turut diperhebatkan dengan persembahan pancaragam dari Maritim Malaysia yang memeriahkan suasana.

Sua Mesra bukan sekadar acara pameran dan pertunjukan semata-mata, malah ia berperanan sebagai jambatan untuk mempereratkan hubungan antara rakyat dengan agensi keselamatan negara.

Program ini juga menjadi bukti usaha berterusan kerajaan dalam mendekati masyarakat dan memberi perkhidmatan secara langsung di lapangan.

Majlis perasmian Program Sua Mesra di Bandar Baharu ini dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta barisan ketua jabatan di bawah kementerian berkenaan.

Program akan bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada 5 petang. Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan kemasukan adalah percuma.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan perkhidmatan yang disediakan, Program Sua Mesra di Bandar Baharu pastinya menjadi satu platform bermakna untuk rakyat mengenali dan menghargai peranan penting agensi keselamatan negara dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

3 COMMENTS

Comments are closed.

Popular