editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Konsep doktor sosial dilihat mampu menjadi pemangkin baharu dalam usaha menangani pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat pada masa kini, sama ada membabitkan aspek sosial, ekonomi mahupun pembangunan kemahiran.
Menurut Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, doktor sosial bukan merujuk kepada pengamal perubatan seperti yang difahami umum, sebaliknya membawa maksud individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan berperanan membantu komuniti melalui pelbagai bentuk sumbangan sama ada secara sukarelawan mahupun menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Tambahnya, konsep ini membuka ruang kepada profesional, pengamal teknikal dan pakar dalam pelbagai bidang untuk menyumbang kepakaran mereka secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu setempat yang berlarutan.
“Sebagai contoh, jika masyarakat di luar bandar berdepan kesukaran dalam memasarkan produk tempatan, seorang doktor sosial yang mahir dalam bidang pemasaran boleh tampil membantu mereka membina strategi yang berkesan.
“Begitu juga anak-anak muda yang tidak memiliki kemahiran membaiki motosikal atau basikal, boleh dibimbing melalui bengkel atau kelas yang dikendalikan oleh individu berkemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, pendekatan doktor sosial juga amat relevan dalam konteks pendidikan, khususnya dalam memperkukuhkan kefahaman pelajar terhadap subjek yang sukar difahami.
Justeru, tenaga akademik dari institusi pengajian tinggi disaran turun padang berkongsi ilmu serta kepakaran bersama komuniti luar kampus.
Jelas beliau, langkah itu bukan sahaja dapat membantu pelajar, malah mampu menghapuskan persepsi bahawa universiti wujud sebagai sebuah ‘pulau’ yang terasing daripada masyarakat sekeliling.
“Sekiranya setiap universiti memainkan peranan mereka secara aktif, masalah yang membelenggu masyarakat dapat ditangani dengan lebih cepat dan efektif.
“Kepakaran ratusan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang terdapat di universiti wajar digembleng, bukannya hanya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata,” katanya.

Tambahnya, penglibatan secara langsung institusi pengajian tinggi dalam agenda pembangunan sosial negara perlu diterjemahkan menerusi inisiatif konkrit, agar kepakaran yang dimiliki tidak hanya terhimpun di dalam bilik kuliah, tetapi dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan masyarakat.
Malaysia ketika ini memiliki 20 universiti awam dan lebih 300 institusi pengajian tinggi swasta.
Jika semua pihak berganding bahu dan menggembleng kepakaran yang ada, negara diyakini mampu melahirkan lebih ramai doktor sosial yang berfungsi sebagai agen perubahan sosial secara menyeluruh.
“Dengan jumlah pakar yang begitu ramai di universiti, kita tidak seharusnya mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan pelbagai isu masyarakat, baik dari segi ekonomi, sosial mahupun pendidikan.
“Peranan melahirkan doktor sosial tidak harus diletakkan di bahu kerajaan sahaja. Tanggungjawab ini perlu dikongsi bersama oleh institusi pendidikan tinggi, sektor swasta dan individu berkemahiran yang prihatin terhadap pembangunan negara,” katanya lagi.
Konsep doktor sosial ini, jika dilaksanakan secara meluas dan sistematik, berupaya menjadi pendekatan baharu dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi ilmu dan masyarakat, sekali gus membawa Malaysia ke arah pembentukan sebuah masyarakat berpengetahuan, inklusif dan sejahtera.

