editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Setelah sekian lama menyepi daripada dunia seni, penyanyi pop rock yang pernah mencipta nama bersama Projektor Band, Iskandar Zulkarnain, kini kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single solo terbaharunya berjudul Sewaktu Bahagia.
Lagu yang menyentuh perasaan ini diterbitkan di bawah label ternama Luncai Emas, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Iskandar sebagai penyanyi solo.
Sewaktu Bahagia bukan sekadar sebuah karya muzik, malah merupakan cerminan emosi dan kisah benar yang dialami oleh pencipta lagunya, Aidil AF dan Jeremy Erskine, dua figura kreatif di bawah naungan Luncai Emas.
Kedua-dua mereka melalui episod kekecewaan dalam percintaan, yang kemudiannya diterjemahkan secara jujur dan mendalam dalam bentuk lirik serta melodi.
Antara bait lirik yang paling menggamit jiwa ialah “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia”, yang menyimpulkan rasa kecewa terhadap cinta yang mengkhianati momen kebahagiaan.
Pertemuan antara Iskandar dan Aidil berlaku dalam suasana yang tidak disangka-sangka, apabila Nabil sepupu kepada Iskandar mempertemukan mereka.
Menyedari bahawa Iskandar sedang mencari ruang untuk bangkit semula dalam arena muzik, Aidil tidak berlengah memperkenalkannya kepada pihak Luncai Emas.

Hasil pertemuan itu, terjalinlah kolaborasi yang melahirkan Sewaktu Bahagia.
Iskandar, yang sebelum ini dikenali dengan keupayaannya membawakan lagu-lagu penuh emosi dan jiwa, meluahkan rasa syukur atas peluang untuk bekerjasama dengan barisan nama besar dalam industri muzik tanah air.
“Saya amat berbesar hati dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Aidil AF serta Dato’ M. Nasir.
“Lagu ini bukan sahaja mencerminkan kisah peribadi, tetapi juga lambang kebangkitan semula saya dalam dunia muzik,” katanya penuh harapan.
Tambahnya, Sewaktu Bahagia diharapkan bukan sahaja mendapat sambutan baik daripada peminat, malah mampu menjadi lagu malar segar (evergreen) yang relevan merentasi generasi.
“Terima kasih atas segala doa dan sokongan. Nantikan yang terbaik daripada saya,” katanya lagi, sambil menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang terus setia menantikan kemunculannya.
Bagi menjayakan penerbitan lagu ini, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Keon Omar telah memberikan tanggungjawab kepada penerbit muda, Hidayat Nasir yang juga pemain gitar kumpulan Pitahati untuk menerajui produksi karya berkenaan.
Hidayat menyifatkan peluang menerbitkan lagu ini sebagai satu penghormatan besar dalam kerjayanya.
“Saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menerbitkan lagu ini, yang menjadi penanda kemunculan semula Iskandar selepas beberapa tahun menyepi.
“Ia bukan tugas mudah, tetapi pengalaman ini amat bermakna,” kata Hidayat.

Menurutnya, antara cabaran utama dalam proses penghasilan lagu ini adalah memastikan susunan muzik dan interpretasi lagu selari dengan kekuatan vokal serta keperibadian maskulin Iskandar.
Dalam menghasilkan karya ini, Hidayat turut mendapat sokongan pasukan produksi yang mantap termasuk Zahar dari Pitahati sebagai pemain gitar, Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi dan Ujang dari kumpulan Exist yang menggalas tugas sebagai pemain drum.
Keunikan Sewaktu Bahagia turut diperkukuh dengan sentuhan istimewa daripada maestro muzik tersohor tanah air, M. Nasir, yang memberi bimbingan secara langsung kepada Iskandar dalam menyampaikan emosi lagu secara lebih mendalam dan berkesan.
Kehadiran beliau memberi nilai tambah besar kepada mutu persembahan dan keseluruhan produksi lagu terbabit.
Sempena pelancaran rasmi lagu ini, sebuah video lirik turut telah dirakam dan ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas sejak 25 Julai 2025.
Lagu ini juga akan tersedia secara serentak di semua platform penstriman digital.
Kemunculan Sewaktu Bahagia bukan sahaja mengumumkan kembalinya Iskandar Zulkarnain ke pentas muzik, tetapi juga membawa harapan baharu buat penggemar muzik tempatan yang sentiasa mendambakan karya-karya tulen, emosional dan penuh jiwa.


https://shorturl.fm/Px48s
https://shorturl.fm/fgfoU