28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 22, 2026

“Dadah musuh utama negara, perlu kerjasama bersepadu” – Saifuddin Nasution

editormaxinfo@gmail.com

JITRA – Kerajaan menegaskan komitmen dalam memerangi ancaman dadah yang terus mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan amanat penuh bersemangat sempena Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Darulaman, hari ini.

Dalam ucapannya, Saifuddin menekankan isu dadah bukan lagi hanya tanggungjawab agensi penguat kuasa semata-mata, tetapi satu perjuangan nasional yang memerlukan pendekatan bersepadu membabitkan semua pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, institusi masyarakat, pertubuhan agama dan orang awam.

Beliau mendedahkan sebanyak RM480 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkukuh operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan penyelenggaraan pusat-pusat pemulihan seluruh negara.

Tambahnya, permohonan tambahan sebanyak RM500 juta sedang diusahakan bagi memperluas kapasiti sedia ada dan meningkatkan keberkesanan intervensi rawatan serta pemulihan.

Menyentuh aspek penguatkuasaan, Saifuddin menjelaskan pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah tahun lalu telah membawa kesan signifikan dalam mengekang sindiket serta memperketatkan hukuman terhadap pengedar.

“Tindakan undang-undang yang lebih tegas kini sedang dilaksanakan, dan kita tidak akan berkompromi terhadap pengkhianat yang memperdagangkan masa depan rakyat,” tegasnya.

Menurut beliau, 80 peratus kemasukan dadah ke dalam negara berlaku melalui laluan laut, namun penguatkuasaan masih terhad akibat kekangan aset logistik seperti helikopter dan kapal pemantau.

Bagaimanapun, katanya, usaha ini menerima suntikan baharu apabila permohonan kelengkapan tambahan telah diluluskan oleh Perdana Menteri.

“Perjuangan menentang dadah tidak mengenal sempadan. Kerjasama kita dengan negara ASEAN serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga kini diperkukuh melalui operasi serantau, pemindahan kepakaran dan perkongsian risikan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Saifuddin turut membentangkan data hasil kerjasama strategik bersama Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), yang menunjukkan tiga daerah paling terjejas dengan masalah penagihan dadah ialah Pendang (Kedah), Kuala Krai dan Bachok (Kelantan).

Manakala negeri-negeri dengan kadar penagihan tertinggi pula ialah Terengganu, Perlis, Kelantan dan Kedah.

Beliau turut memberi peringatan agar pihak berkuasa negeri dan pemimpin tempatan tidak memandang ringan fenomena ini kerana ia tidak hanya membabitkan penagih, tetapi turut menggugat struktur sosial dan keselamatan masyarakat.

Dalam nada tegas namun penuh harapan, Saifuddin menyeru seluruh kepimpinan negeri, terutamanya di Kedah, agar bergerak secara kolektif bersama agensi-agensi persekutuan.

“Ini bukan soal politik, ini soal tanggungjawab. Kita semua ada peranan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik titah Sultan Kedah yang menyeru agar khutbah Jumaat di masjid-masjid diperkuatkan dengan mesej pencegahan dadah sebagai usaha mendidik masyarakat dari akar umbi.

Menutup ucapannya, Menteri Dalam Negeri itu menggariskan bahawa tiga perkara utama perlu menjadi asas dalam memerangi masalah ini iaitu keinsafan, agar masyarakat tidak terus menafikan realiti di hadapan mata.

 Kerjasama, kerana tiada satu pihak mampu bertindak sendirian dan komitmen, bahawa usaha ini memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan.

“Usaha hari ini harus menjadi titik tolak kepada perubahan besar. Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita ini,” katanya.

Sebagai langkah lanjut, penduduk di negeri Kedah digesa tampil menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah melalui AADK Careline di talian 019-6262233.

Dalam masa sama, program kesedaran akan diperluas ke sekolah-sekolah dan surau bagi meningkatkan kefahaman serta sokongan komuniti terhadap usaha pencegahan dadah.

Sambutan Hari Anti Dadah 2025 ini turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif baharu dalam memperkasa pendidikan awam mengenai bahaya dadah dan pengukuhan sistem sokongan kepada individu yang menjalani proses pemulihan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular