editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dua nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia muzik serantau, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Ade Govinda dari Indonesia, sekali lagi bergabung dalam sebuah karya indah bertajuk “Menamakanmu Cinta”, sebuah lagu cinta yang sarat emosi dan penuh makna.
Kolaborasi ini menandakan kesinambungan kerjasama erat antara kedua-dua artis setelah kejayaan beberapa lagu terdahulu yang dicipta Ade Govinda untuk Siti Nurhaliza, termasuk “Terbaik Bagimu”, “Engkau”dan “Tak Pernah Ragu” yang dimuatkan dalam album Fragmen pada tahun 2014.
Kini, melalui “Menamakanmu Cinta”, mereka tampil dengan karya yang lebih matang, menyentuh dan dijangka menjadi kegemaran penggemar muzik di Malaysia, Indonesia, mahupun di peringkat antarabangsa.
Siti Nurhaliza menyifatkan kolaborasi ini sebagai sebuah pengalaman yang amat bermakna, lebih-lebih lagi apabila dapat kembali bekerjasama dengan Ade Govinda selepas hampir satu dekad.
Menurutnya, lagu ini adalah manifestasi keindahan cinta sejati yang diterjemahkan dalam lirik dan melodi yang mendalam.

“Saya senang sekali dapat kembali bekerjasama dengan Ade selepas lagu-lagu dalam Fragmen. Menamakanmu Cinta adalah lagu yang sangat indah, dengan sentuhan khas Ade yang sentiasa berjaya mencipta karya yang segar dan relevan,” kata Siti.
Beliau turut berharap agar single ini dapat diterima dengan baik oleh peminat di Malaysia, Indonesia, dan di seluruh dunia.
Katanya lagi, lagu ini bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi membawa mesej positif tentang menghargai insan tersayang.
“Saya berharap lagu ini dapat menjadi pengiring kepada mereka yang menghargai makna cinta dalam kehidupan.
“Setiap lirik dalam lagu ini dicipta dengan perasaan yang mendalam. Saya percaya pendengar akan dapat merasai perjalanan emosi yang dibawa oleh lagu ini,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Ade Govinda, penghasilan lagu ini hadir daripada keinginan untuk mencipta sebuah lagu cinta yang boleh menjadi lagu tema untuk pasangan yang meraikan cinta mereka, terutamanya dalam majlis-majlis perkahwinan.

“Idea lagu ini datang kerana saya ingin mencipta lagu cinta yang boleh dinyanyikan oleh sesiapa sahaja yang sedang berbahagia.
“Bekerja dengan Siti adalah satu pengalaman yang sangat istimewa dan menyeronokkan. Proses rakaman juga berlangsung dengan cepat, lancar dan saya dapat meneroka sepenuhnya keindahan vokalnya,” kata Ade.
Ade turut berkongsi sisi peribadi ketika proses rakaman berlangsung, menggambarkan suasana yang santai namun profesional.
“Seperti biasa, beliau seorang yang sangat prihatin. Beliau sering membawa makanan ke studio, menjadikan suasana rakaman sangat mesra dan menyenangkan. Dalam suasana sebegitu, kreativiti saya lebih mudah berkembang,” katanya.
Menutup perkongsiannya, Ade berharap agar lagu “Menamakanmu Cinta” menjadi karya yang dekat di hati pasangan yang sedang jatuh cinta dan mereka yang menghargai momen indah dalam kehidupan.
“Lagu ini bukan sekadar melodi, tetapi luahan perasaan yang mampu menyentuh jiwa.
“Saya harap ia akan menjadi lagu tema dalam kisah cinta ramai orang, membangkitkan kenangan manis dan menjadi pengiring dalam setiap detik bahagia mereka,” katanya.
Dengan penyatuan dua figura penting dalam muzik Malaysia dan Indonesia ini, “Menamakanmu Cinta” bukan sekadar satu lagi lagu cinta ia adalah simbol penyatuan rasa, budaya dan keindahan seni yang melangkaui sempadan.


https://shorturl.fm/WTJrv
https://shorturl.fm/JSHqn