editormaxinfo@gmail.com
CINCINNATI – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma perisian terkemuka Amerika Syarikat, Astronomer, digantung tugas berikutan satu insiden yang tular di media sosial, membabitkan dakwaan kecurangan yang berlaku secara terbuka semasa konsert kumpulan muzik terkenal, Coldplay.
Insiden itu mula mencuri perhatian ramai selepas rakaman skrin besar di Stadium Gillette, Foxborough, Massachusetts, memaparkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Andy Byron, sedang berpelukan mesra dengan Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) syarikat berkenaan, Kristin Cabot.
Kejadian itu turut disertai teguran spontan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin, yang menyaksikan momen itu dari atas pentas.
Ekoran reaksi pantas dan meluas daripada warga maya, yang menjadikan insiden berkenaan bahan jenaka dan spekulasi di media sosial selama dua hari berturut-turut, pihak syarikat tampil mengesahkan Andy Byron kini telah diarahkan untuk bercuti sementara siasatan dalaman dijalankan.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi platform X (dahulunya Twitter) lewat malam Jumaat, jurucakap Astronomer berkata, Lembaga Pengarah telah memulakan siasatan berhubung perkara itu dan akan mengumumkan butiran lanjut dalam masa terdekat.
“Astronomer komited terhadap budaya dan nilai positif yang telah menjadi panduan sejak firma ini ditubuhkan,” menurut kenyataan itu, yang turut berkata sebarang tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang menyeluruh dan telus.
Sebagai langkah interim, pengasas bersama syarikat yang juga Ketua Pegawai Produk (CPO), Pete DeJoy telah dilantik sebagai CEO sementara bagi memastikan kelangsungan pengurusan syarikat sepanjang tempoh siasatan berlangsung.
Setakat ini, Andy Byron masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi atau mengesahkan penglibatannya dalam insiden yang dirakam secara terbuka dan ditayangkan kepada ribuan penonton di stadium itu. Kristin Cabot juga belum mengulas mengenai perkara berkenaan.
Insiden ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial serta penggiat industri teknologi, yang mempersoalkan etika profesional pemimpin syarikat dalam menjaga integriti dan imej korporat.
Dengan reputasi Astronomer sebagai salah satu syarikat teknologi yang berkembang pesat dalam bidang pemprosesan data dan penyelesaian awan, pemantauan terhadap perkembangan kes ini dijangka akan terus mendapat perhatian ramai, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan dan pelabur, malah masyarakat umum. -Agensi


Drive sales, earn big—enroll in our affiliate program! https://shorturl.fm/4UJeO
https://shorturl.fm/aFTV0