editormaxinfo@gmail.com
TRONG – Kampung Temerlok di Trong, Perak menerima suntikan pembangunan berjumlah RM1 juta menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI yang digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan holistik agensi itu kini melangkaui tanggungjawab di lautan apabila turut memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Maritim Malaysia hari ini membuktikan bahawa peranan kami bukan sekadar menjaga keselamatan perairan negara, tetapi juga berperanan menyantuni rakyat melalui pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan komuniti,” katanya ketika berucap dalam Program Korban dan Kerohanian APMM sempena pelaksanaan Kampung Angkat MADANI di Kampung Temerlok, pagi tadi.

Program berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia, termasuk Pengarah Bahagian Perisikan (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman; Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh; serta Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob.
Turut sama menyokong inisiatif ini ialah kepimpinan setempat termasuk Penghulu Tertinggi Daerah Larut, Matang dan Selama, YBrs. Ahmad Jais Rofiee, serta Penghulu Mukim Trong dan Ketua-Ketua Kampung dari kawasan sekitar.
Melalui dana khas daripada Kementerian Kewangan, lima projek utama akan dilaksanakan bagi memanfaatkan komuniti Kampung Temerlok secara langsung.
Ini termasuk pembinaan dan pembaikan Jeti Nelayan Sungai Tok Lin yang menjadi nadi ekonomi tempatan; pembaikan bumbung Sekolah Agama Rakyat Al-Mahmudiah bagi menjamin keselesaan pelajar; penyelenggaraan Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Temerlok; baik pulih Masjid Al-Mahmudiah serta kerja pembersihan kawasan masjid dan tapak perkuburan Islam.

Maritim Malaysia turut memperlihatkan keprihatinan sosial melalui program gotong-royong bersama penduduk kampung bagi membersihkan kawasan masjid lama dan tanah perkuburan, selain menyumbangkan dua unit penghawa dingin kepada bilik mesyuarat Masjid Al-Mahmudiah.
Program komuniti ini disertai lebih 150 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dari Ibu Pejabat dan Maritim Negeri Perak.
Kehadiran mereka bukan sahaja memperkukuh semangat gotong-royong, tetapi turut menyerlahkan nilai kebersamaan antara agensi penguat kuasa dan masyarakat setempat.
Sempena sambutan Aidiladha, Maritim Malaysia turut menyumbangkan tiga ekor lembu untuk ibadah korban, dengan daging diagihkan kepada lebih 200 penduduk kampung, termasuk warga emas, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.
Menurut Mohd Rosli, pendekatan ini mencerminkan peranan agensi penguat kuasa dalam membina jalinan sosial yang erat dan memperjuangkan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, keadilan sosial dan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan mock-up sumbangan penghawa dingin kepada wakil masjid, penyampaian cenderahati kepada penghulu dan ketua kampung serta lawatan ke tapak-tapak projek pembangunan yang sedang dijalankan.
Inisiatif Kampung Angkat MADANI bukan sekadar sebuah program bantuan, tetapi lambang keprihatinan agensi kerajaan dalam menyantuni rakyat dengan pendekatan mesra, menyeluruh dan berimpak tinggi.
Ia sekali gus membuktikan bahawa kemajuan negara tidak hanya berpusat di kota, bahkan terus dipacu hingga ke ceruk desa.
Kampung Temerlok kini berdiri sebagai simbol bahawa suara rakyat luar bandar sentiasa diberi perhatian, dengan tekad kerajaan untuk menjamin kesejahteraan yang inklusif buat seluruh Keluarga Malaysia.

