editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Women Economic Forum ASEAN 2025 (WEF ASEAN 2025) bakal menjadi platform penting yang menghimpunkan lebih 67 penceramah antarabangsa dari lebih 40 negara, termasuk negara-negara ASEAN, dalam usaha memacu agenda kepimpinan wanita di rantau ini.
Bersama mereka, seramai 51 penceramah tempatan dari pelbagai latar belakang akan turut serta menyumbang kepada perbincangan strategik dan inspirasi sepanjang tiga hari forum yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2025 di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kuala Lumpur.
Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr. (h.c.) Hartini Osman berkata, forum ini adalah satu medan bersejarah yang menyatukan pemimpin, ahli akademik, usahawan dan penggerak perubahan daripada pelbagai sektor di seluruh dunia.

Katanya, WEF ASEAN 2025 bukan sekadar sebuah persidangan, tetapi satu gerakan berlandaskan kasih sayang, solidariti dan tindakan kolektif.
“Kita berkumpul bukan hanya untuk meraikan kejayaan, tetapi juga untuk memberi harapan kepada wanita dan komuniti yang masih menanti peluang dan perubahan.
Forum ini membawa visi untuk memperkukuh suara wanita dalam pembangunan serantau serta menjalin kerjasama strategik merentas budaya dan sempadan, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya pada sidang media yang diadakan sempena majlis pengumuman rasmi barisan penceramah forum, hari ini.
Mengangkat tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy”, WEF ASEAN 2025 bertujuan membina masa depan ekonomi serantau yang lebih inklusif dan mampan melalui pemerkasaan wanita.
Ia turut memberi tumpuan kepada peranan wanita dalam memperkasakan masyarakat rentas generasi, memacu inovasi, serta merapatkan jurang ekonomi dan sosial.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN MITI, Datin Dr. Sugumari Shanmugam, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini.

Setakat ini, lebih 400 peserta telah mengesahkan kehadiran, termasuk wakil kerajaan, ahli perniagaan, pendidik serta pemimpin wanita dari pelbagai sektor dan negara.
Sepanjang tiga hari forum, peserta akan menyertai sebanyak 24 sesi utama yang terdiri daripada enam bengkel, sembilan sesi perbincangan meja bulat, 10 sesi plenari dan beberapa ‘fireside chats’ sebuah format yang membolehkan perbincangan lebih santai tetapi mendalam.
Kemuncak forum akan berlangsung dalam majlis makan malam gala yang akan dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk bekas Perdana Menteri, kerabat diraja, ahli politik, usahawan serta tokoh pendidikan antarabangsa.
Hari terakhir forum akan menyaksikan pembentangan resolusi dan rumusan hasil perbincangan kepada pemimpin negara dan wakil antarabangsa sebagai sumbangan kepada dasar awam dan cadangan tindakan untuk mengangkat suara wanita di peringkat serantau dan global.

WEF ASEAN 2025 turut menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak korporat dan yayasan yang tampil sebagai penaja rasmi dan rakan strategik.
Antara entiti yang terbabit termasuklah FGV Holdings Berhad, Kino Biotech (M) Sdn Bhd (Kinohimitsu), St Beaute Sdn Bhd (Matis Paris), Cuckoo International (MAL) Berhad, Palaterium Sdn. Bhd. (HWC Malaysia), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) serta ADLA Group.
Sementara itu, penaja emas forum terdiri daripada Ceres Diamond & Jewels Sdn Bhd (Patricia), Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Ogawa World Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dan MSM Malaysia Holdings Berhad.
Forum ini juga bakal menampilkan lebih 50 pempamer terkemuka dari pelbagai industri termasuk teknologi, kesihatan, kecantikan, pendidikan, keusahawanan dan gaya hidup.
Ruang pameran bakal dimeriahkan dengan Pesta Kita ASEAN, yang menonjolkan produk tempatan dan antarabangsa, serta persembahan kebudayaan hasil kerjasama Kementerian Pelancongan.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pihak daripada penaja, rakan kongsi, pempamer sehinggalah sukarelawan.
“Anda semua bukan sekadar pemegang taruh, tetapi pemegang jiwa kepada pergerakan ini,” kata Dr. Hartini.
Dengan gabungan suara, semangat dan visi serantau, WEF ASEAN 2025 dijangka menjadi titik permulaan kepada perubahan struktur dalam landskap kepimpinan wanita ASEAN, sekali gus mengangkat martabat wanita sebagai ejen perubahan yang berdaya saing dan berdaya tahan di pentas global.

