27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Konsert MeleTOP TVS gegar Miri, raikan kejayaan seni dan budaya Borneo

editormaxinfo@gmail.com

MIRI – Bandaraya Miri menjadi saksi kepada malam yang penuh gemilang dan bertenaga apabila Konsert MeleTOP TVS berjaya menarik ribuan peminat muzik dari seluruh Borneo, termasuk Brunei dan Kalimantan, ke Stadium Tertutup Miri.

Bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend”, konsert ini mencatat sejarah sebagai penganjuran pertama acara berskala mega MeleTOP di luar Lembah Klang dengan Miri sebagai lokasi pilihan sulung.

Hasil kerjasama strategik antara dua entiti penyiaran utama negara, Astro dan TVS, konsert berdurasi dua jam itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform termasuk TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV dan Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Konsert dibuka dengan gabungan elemen budaya dan muzik kontemporari oleh Sada Borneo dan Dion Das, sebelum pentas dihangatkan dengan persembahan bertenaga daripada Mimifly dan Stacy yang membawakan lagu-lagu hit seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”.

Bintang muda kelahiran Sabah, Wani Kayrie, tampil menggegar pentas bersama rapper Noki menerusi lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, menyemarakkan semangat Borneo dengan identiti muzik yang unik dan membanggakan.

Kemuncak acara menyaksikan penyanyi tersohor tanah air dan kebanggaan Sarawak, Dayang Nurfaizah, menerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan Dayang dalam mengangkat nama Sarawak dan Borneo ke peringkat nasional.

Malam istimewa itu diserikan lagi dengan persembahan solo Dayang yang penuh emosi menerusi lagu “Seandainya Masih Ada Cinta”, serta duet memukau bersama Hael Husaini menerusi lagu popular “Haram”, yang nyata meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Konsert turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa beberapa nama besar lain seperti Hairee Francis, Marsha Milan dan Nadeera yang kini mencuri perhatian ramai setelah kejayaannya di pentas AJL39.

Dolla menutup pentas dengan penuh gaya dan bertenaga, menjemput penonton berdiri menari dalam persembahan glam yang mengakhiri malam dengan sorakan gemuruh.

Aksi pengacara turut mencuri tumpuan, apabila hos-hos popular MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad digandingkan dengan personaliti TVS termasuk Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi, memastikan suasana kekal meriah dari awal hingga akhir.

Tidak berhenti di situ, TVS turut mengumumkan penganjuran satu lagi konsert mega bersempena sambutan Gawai dan Kaamatan yang bakal berlangsung pada 21 Mei 2025 di lokasi yang sama.

Konsert ini bakal menampilkan ratu rock negara, Ella, sebagai artis utama, bersama barisan penyanyi popular seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, dan Marina Jara dari Kalimantan.

Tiket percuma untuk konsert ini telah habis ditempah dalam masa yang singkat, menunjukkan sambutan hangat daripada peminat.

Namun, TVS masih membuka peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan tiket di laman web rasmi (tvsarawak.my) atau di pintu masuk pada malam konsert, selagi stok masih ada.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, penganjuran konsert di Miri amat signifikan memandangkan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke utara Sarawak serta berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan.

“Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya merupakan masa terbaik untuk meraikan rakyat dan budaya kita dalam skala besar,” katanya.

Konsert seperti ini bukan sahaja mengangkat industri hiburan tempatan, malah menjadi platform penting dalam membina jambatan budaya antara negeri, wilayah dan negara.

Dengan menampilkan gabungan artis tersohor dan bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak, serta akses percuma kepada umum, acara seperti ini turut membantu memperkukuh pelancongan serantau dan membuka peluang keemasan untuk artis tempatan menyerlah di pentas yang lebih luas.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular