25.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026

MQA dan CHED rancang kerjasama strategik untuk tingkatkan kualiti pendidikan tinggi

editormaxinfo@gmail.com

MANILA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Commission on Higher Education (CHED) Filipina sedang merancang untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha menjamin kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa inisiatif khas untuk CHED yang memberi tumpuan kepada aspek jaminan kualiti.

Inisiatif ini dijangka akan dilaksanakan di Malaysia pada suku kedua 2025, dengan penyertaan sekitar 20 peserta dari pengarah eksekutif dan pengarah kanan daripada lima badan jaminan kualiti di Filipina, termasuk CHED.

Tambahnya, CHED juga menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan MQA dalam usaha menanda aras pendidikan fleksibel yang telah diperkenalkan di Malaysia.

“Perbincangan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dan CHED sedang berjalan, dan draf awalnya akan diperhalusi dalam masa terdekat,” katanya.

Kerjasama ini dijangka akan mengukuhkan lagi reputasi negara dalam bidang pendidikan tinggi, bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga di peringkat global.

Ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan global.

Perbincangan ini berlangsung selepas mesyuarat antara MQA dan Pesuruhjaya CHED, Marita R. Canapi, bersama wakil-wakil CHED, di ASEAN Education Forum 2025, yang diadakan baru-baru ini.

Delegasi CHED turut dihadiri oleh Pengarah Jaminan Kualiti Institusi & Tadbir Urus, Dr. Raul F. Muyong; Ketua Pakar Program Pendidikan, Dr. Mildred M. Libot; serta beberapa pakar program pendidikan kanan dan pakar pendidikan dari Filipina.

Selain itu, MQA diwakili oleh Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (MQA International), Muhammad Hasfarizal Kamaludin, serta Penolong Pengarah Kanan Seksyen Antarabangsa MQA International, Fairul Nahar Baharudin.

Sebelum itu, Mohammad Shatar telah dijemput menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Agensi Akreditasi Kolej dan Universiti Tercharter di Filipina (AACCUP), yang dihadiri oleh lebih 900 peserta terdiri daripada ahli Lembaga Pemegang Amanah AACCUP, Presiden Universiti Negeri, dan Pengarah Akreditasi Pendidikan Tinggi dari seluruh Filipina.

Persidangan selama tiga hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada universiti-universiti tempatan di Filipina mengenai hala tuju pendidikan tinggi global.

Pengerusi CHED, Prof. Dr. J. Prospero, turut menyatakan bahawa Filipina berhasrat mewujudkan satu standard amalan yang seragam bagi semua agensi jaminan kualiti yang dilantik untuk menilai akreditasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara itu.

Kerjasama dengan MQA ini diharapkan dapat memperkukuh usaha kedua-dua negara dalam meningkatkan standard jaminan kualiti pendidikan tinggi di peringkat serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular