27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 1, 2026

Anggota KPF desak bayaran penjualan saham segera diselesaikan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekumpulan anggota Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) menggesa pihak pengurusan koperasi itu segera menyelesaikan isu pembayaran hasil penjualan saham yang didakwa masih tertunggak, termasuk membabitkan anggota yang dikatakan telah menunggu hampir tiga tahun tanpa sebarang penyelesaian.

Desakan itu disuarakan menerusi satu piket aman yang diadakan berhampiran ibu pejabat KPF sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-45 KPF di Kuala Lumpur.

Menurut Penyelaras Perhimpunan Aman, Ahmad Karami Lebai Yunus, tujuan utama piket berkenaan bukan untuk membangkitkan isu pembayaran dividen tahunan, sebaliknya bagi menuntut agar KPF melunaskan pembayaran wang hasil penjualan saham yang didakwa masih belum diterima oleh sebahagian anggotanya.

Beliau berkata, bantahan itu adalah kesinambungan daripada beberapa siri tindakan yang telah diadakan sejak Februari 2024 bagi mendesak penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, alasan kekurangan aliran tunai yang diberikan pihak pengurusan KPF sejak sekian lama tidak lagi mampu meyakinkan anggota, khususnya dalam kalangan peneroka FELDA dan generasi kedua FELDA yang bergantung kepada wang terbabit.

Ahmad Karami turut mendakwa terdapat anggota yang meninggal dunia sebelum sempat menerima kembali wang hasil penjualan saham mereka, sekali gus menyifatkan keadaan itu amat mendukacitakan.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan dan janji yang sebelum ini dibuat oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dakwanya, Pengerusi FELDA itu memberi jaminan isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, namun sehingga kini masih belum menunjukkan perkembangan seperti diharapkan.

Selain isu pembayaran saham, kumpulan berkenaan turut mempersoalkan prestasi dan pengurusan perniagaan KPF, termasuk operasi rangkaian stesen minyak milik koperasi serta pengurusan aset ladang di Samarahan, Sarawak.

Mereka mempersoalkan sama ada operasi perniagaan yang dijalankan masih mampu menjana keuntungan memandangkan KPF masih meneruskan pelbagai aktiviti perniagaan, menggaji kakitangan serta menawarkan kemudahan pinjaman kepada anggota.

Dalam masa sama, mereka turut meminta pihak pengurusan menjelaskan status ladang milik KPF di Samarahan yang didakwa dibeli pada harga melebihi nilai pasaran tetapi sehingga kini masih belum berjaya dilupuskan.

Menurut Ahmad Karami, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mendapatkan penyelesaian termasuk mengadakan sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPF, mengadakan mesyuarat bersama anggota, membuat laporan polis, mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia, menganjurkan dua siri piket serta menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini tiada penyelesaian konkrit dicapai, sekali gus menyebabkan anggota terus menanggung beban akibat kelewatan pembayaran itu.

Beliau turut mendakwa kenyataan yang sering dibuat mengenai pembayaran ratusan juta ringgit kepada anggota sebenarnya merujuk kepada pembayaran dividen tahunan dan bukannya pembayaran hasil penjualan saham, sambil menegaskan kedua-dua perkara itu tidak seharusnya disamakan kerana membabitkan kategori pembayaran yang berbeza.

Ahmad Karami berkata, alasan bahawa KPF adalah sebuah koperasi dan bukannya institusi kewangan juga tidak sepatutnya dijadikan justifikasi untuk melengahkan pembayaran kepada anggota yang telah menjual semula saham mereka mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan KPF melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin, selain meminta kerajaan melalui Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri campur tangan bagi memastikan hak anggota dipelihara.

“Saya ingatkan agar KPF tidak menjadi, “seolah-olah scammer berlesen” dan hak anggota tidak seharusnya terus dinafikan,” katanya.

Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan KPF berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh kumpulan anggota terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular