29 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

1,000 asnaf terima Bakul Rahmah, 50 anak istimewa dapat duit raya dalam Program Ramadan PRESMA

editormaxinfo@gmail.com

BATU CAVES – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meneruskan komitmen kebajikan sempena bulan Ramadan dengan menganjurkan Program Ihya Ramadan dan Iftar yang menyaksikan lebih 1,000 golongan asnaf menerima sumbangan Bakul Rahmah, manakala 50 anak-anak istimewa turut menerima duit raya dalam satu majlis penuh bermakna.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PRESMA dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Presiden PRESMA, Dato’ Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, program itu dianjurkan bagi meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti sepanjang Ramadan.

Menurutnya, kejayaan penganjuran program berkenaan turut disokong oleh beberapa rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha kebajikan terbabit.

“Alhamdulillah, kita berjaya membantu kira-kira 1,000 penerima melalui sumbangan Bakul Rahmah.

“Selain itu, 50 anak-anak istimewa turut menerima duit raya bagi menceriakan Ramadan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang tampil menghulurkan bantuan termasuk Nestlé Malaysia yang menyumbangkan pelbagai produk makanan, Jasmine Food Corporation yang menyalurkan 1,000 kampit beras serta Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menyediakan 1,000 kotak makanan untuk diagihkan kepada penerima.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor yang meluangkan masa hampir sejam bersama penerima dan penganjur walaupun mempunyai jadual yang padat.

Dalam pada itu, Mosin berkata, PRESMA yang kini mempunyai kira-kira 2,300 ahli berdaftar serta rangkaian hampir 11,000 vendor di seluruh Semenanjung Malaysia sentiasa komited untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan secara berterusan.

Menurutnya, selain program kebajikan sempena Ramadan, persatuan itu juga aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana termasuk menyediakan dapur bergerak dan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.

“Selama lebih 20 tahun, kita telah melaksanakan pelbagai program kebajikan bersama madrasah, masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Namun kali ini kita menghidupkan semula program yang dianjurkan secara langsung oleh PRESMA sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mosin turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor mengenai beberapa isu yang dihadapi oleh pengusaha restoran mamak, khususnya berkaitan pengambilan pekerja asing serta pelaksanaan Akta 446 iaitu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.

Beliau berkata, proses mendapatkan sijil penginapan pekerja yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika ini dilihat agak rumit serta membabitkan kos yang tinggi kepada pengusaha.

“Kita bukan tidak mahu mematuhi peraturan kerajaan, namun proses yang perlu dilalui agak kompleks dan kosnya juga tinggi. Jika kos operasi meningkat, akhirnya ia akan memberi kesan kepada harga makanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau optimis selepas Menteri Besar Selangor memberi komitmen untuk membantu memudahkan proses terbabit di negeri berkenaan melalui perbincangan lanjut bersama pihak PBT.

Mosin berharap tahun 2026 akan membawa perubahan yang lebih baik kepada industri restoran di negara ini, sekali gus memberi ruang kepada pengusaha untuk terus menawarkan makanan pada harga yang berpatutan kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular