editormaxinfo@gmail.com
CHERAS – Malaysia melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda transformasi digital negara apabila Kitchen Arena, pusat pembekal peralatan dapur komersial berteknologi dan berdigital terbesar di Malaysia serta Asia Tenggara, dirasmikan baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur teknologi berimpak tinggi yang mampu memacu inovasi merentas sektor industri.
“Penubuhan pusat moden berteknologi tinggi ini bukan sekadar satu pencapaian korporat. Ia adalah bukti kukuh terhadap kematangan yang semakin berkembang dalam industri dapur komersial Malaysia.
“Pada hari ini, kita bukan sekadar membuka sebuah bilik pameran, tetapi membuka satu jendela ke arah masa depan dunia gastronomi. Fasiliti ini selari sepenuhnya dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI), di samping memperkukuh sektor makanan dan minuman (F&B) serta industri Halal negara,” katanya pada majlis perasmian Kitchen Arena, baru-baru ini.
Katanya, Ketika kita berada pada tahun 2026, hubungan antara pendigitalan, AI dan peralatan dapur telah melalui perubahan asas yang signifikan.
“kita telah melangkaui era “peranti bersambung” semata-mata. Kini, kita memasuki satu era baharu kecerdasan yang menyeluruh dan tidak kelihatan, yang mengurus persekitaran dapur komersial secara lancar dan bersepadu.
“Untuk memahami evolusi ini, kita perlu melihatnya melalui tiga lapisan kritikal yang mentakrifkan kecekapan moden.
“Saya amat berbesar hati melihat Kitchen Arena turut mengintegrasikan ruang kerja bersama dan ruang latihan dalam pusat ini. Saya berharap inisiatif ini akan membuka jalan kepada kerjasama erat bersama kerajaan dalam usaha memperkasa literasi digital.
“Literasi digital adalah jambatan utama ke arah masa depan kerana ia memperkasa tenaga kerja, menggalakkan pemikiran inovatif, serta memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam ekonomi digital global.
“Marilah kita bekerjasama bagi memastikan setiap cef, setiap usahawan dan setiap pekerja dalam industri makanan dan minuman dilengkapi dengan peralatan serta keupayaan teknologi masa hadapan,” katanya lagi.
Kitchen Arena yang beroperasi di bawah Ping Edge Sdn Bhd turut memperkenalkan ibu pejabat baharunya yang menempatkan World of Oven Experience Centre.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Choong Wai Hon, berkata pembukaan fasiliti ini menandakan peralihan strategik syarikat daripada model runcit konvensional kepada ekosistem bersepadu yang menggabungkan e-dagang, pengesahan produk secara fizikal, latihan profesional serta kolaborasi teknologi.

“Lebih 90 peratus jualan Kitchen Arena kini dijana melalui platform digital, membuktikan keberkesanan pendekatan digital-first yang diterapkan syarikat.
“Pada masa sama, pusat pengalaman ini berperanan melengkapkan ekosistem dalam talian dengan memberi peluang kepada pelanggan dan rakan industri untuk melihat, mencuba dan menilai prestasi peralatan dapur komersial secara langsung, terutamanya bagi pembelian bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, Kitchen Arena mengendalikan sebuah pasaran digital yang menawarkan sekitar 10,000 unit simpanan stok merangkumi pelbagai kategori peralatan dapur komersial.
“Pelanggan kami terdiri daripada pengusaha makanan berskala kecil hingga dapur profesional, dengan produk terlaris termasuk peralatan keluli tahan karat, perabot dapur komersial, serta peralatan utama seperti chiller, freezer, charge freezer dan unit pameran,” katanya.
Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, syarikat itu menyasarkan pertumbuhan agresif dengan rancangan pembukaan sehingga 10 lokasi di seluruh negara, selain meneroka potensi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh kebolehskalaan dan daya tahan perniagaan seiring peningkatan penggunaan automasi dan operasi berasaskan data dalam industri makanan dan hospitaliti.

Di peringkat antarabangsa, Kitchen Arena turut memposisikan Malaysia sebagai pangkalan serantau dengan memanfaatkan rangkaian pembekalnya yang kebanyakannya berpangkalan di luar negara.
Pembekal antarabangsa digalakkan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi latihan, demonstrasi produk dan penglibatan pelanggan, yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan perniagaan negara.
Seiring dengan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), Kitchen Arena menyokong penganjuran pameran perniagaan makanan dan teknologi dapur, Taste & Trade 360 (TT360). A

ntara acara tumpuan ialah “Battle of the Bots”, pertandingan memasak menggunakan robot AI pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang memfokuskan masakan berteraskan cita rasa Asia.
Pertandingan ini dijangka menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan mempercepatkan penggunaan teknologi dapur pintar dalam industri tempatan.
Pihak Kitchen Arena menjangkakan TT360 mampu menarik sekitar 20,000 pengunjung, khususnya pelancong perniagaan yang mempunyai nilai perbelanjaan lebih tinggi.

Usaha ini sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan budaya makanan Malaysia sambil memacu pelancongan bernilai tinggi berasaskan inovasi dan teknologi.
Majlis pelancaran Kitchen Arena turut dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, rakan industri serta penyedia teknologi.
Dengan ekosistem yang merangkumi pembekalan produk, logistik, analitik pelanggan dan pengalaman digital tersuai, Kitchen Arena yakin Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam membentuk masa depan teknologi dapur komersial di peringkat serantau.


Monetize your audience—become an affiliate partner now!