32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 10, 2026

Filem seram psikologi ‘Pemuja’ taruhan berani MIG, tonjol lakonan mantap Qi Razali, Yasmin Hani

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Metrowealth International Group (MIG) kembali dengan filem naskhah seram psikologi tempatan iaitu ‘Pemuja’ yang dijangka mencuri perhatian penonton di pawagam.

Filem ini Adalah sebuah projek yang telah lama dipertimbangkan sebelum akhirnya menemui arah tuju yang tepat melalui sentuhan pengarahan Azmir Affendi.

Naskhah yang memerlukan pengarah dengan sensitiviti emosi dan pemahaman mendalam terhadap penceritaan psikologi.

Setelah meneliti hasil kerja dan pendekatan pengarahan Azmir Affendi, beliau dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menerajui filem ini.

Pemilihan berkenaan disifatkan sebagai satu taruhan berani oleh MIG, selari dengan falsafah syarikat yang sentiasa membuka ruang kepada bakat baharu dan segar dalam industri perfileman tempatan menerusi slogan “Bintang Dicipta, Bukan Dilahirkan”.

Filem Pemuja diterajui oleh Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34, Qi Razali, bergandingan dengan Yasmin Hani sebagai watak utama.

Turut memperkuatkan barisan pelakon ialah nama-nama berpengalaman seperti Namron, Maria Farida, Nafiz Anuar serta beberapa pelakon sokongan lain yang memberi dimensi kukuh kepada keseluruhan penceritaan.

Mengangkat genre seram psikologi, Pemuja mengisahkan pasangan suami isteri, Aqil dan Qistina, yang terpaksa berpindah ke rumah pusaka milik keluarga Qistina di kampung selepas berdepan tekanan kewangan dan tragedi yang menimpa kehidupan mereka.

Pada awalnya, perpindahan itu dilihat sebagai peluang baharu buat Aqil untuk membangunkan semula perniagaan syarikat pemulaannya, manakala Qistina, seorang penulis buku kanak-kanak terkenal, berusaha memulihkan diri daripada kemurungan yang dialaminya.

Namun, ketenangan yang diharapkan tidak bertahan lama apabila insiden demi insiden seram mula berlaku di rumah pusaka terbabit.

Aqil pada awalnya sukar mempercayai pengalaman aneh yang dialami isterinya, menyangka ia sekadar kesan trauma dan kemurungan yang belum sembuh sepenuhnya.

Situasi bertambah rumit apabila Qistina mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung, termasuk seorang dukun bernama Sharifah, atas nasihat Pak Erman.

Walaupun keadaan kelihatan kembali tenang, perubahan pelik pada diri Qistina mula disedari Aqil, memaksa mereka berdepan dengan rahsia gelap yang tersimpan di sebalik rumah pusaka itu.

Dari sudut penceritaan, Pemuja menampilkan pendekatan seram yang lebih menekankan tekanan emosi, konflik dalaman dan gangguan psikologi berbanding elemen kejutan semata-mata.

Lakonan Qi Razali sebagai suami yang sabar dan cuba mempertahankan keluarganya, serta Yasmin Hani yang membawakan watak wanita murung dengan penuh penghayatan, dilihat menjadi kekuatan utama filem ini dan berjaya mengangkat keseluruhan naratif.

Walaupun jalan ceritanya berlegar sekitar tema klasik rumah lama dan gangguan mistik, penceritaan yang tersusun serta suasana “slow burn” membantu mengekalkan ketegangan sehingga ke penghujung filem.

Beberapa bahagian dialog yang panjang dan tempo cerita yang perlahan mungkin dirasakan mencabar bagi sesetengah penonton, namun pendekatan itu selari dengan genre seram psikologi yang cuba diketengahkan.

Secara keseluruhan, Pemuja tampil sebagai sebuah karya seram psikologi yang menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton, khususnya mereka yang menggemari penceritaan berlapik, emosi mendalam dan elemen seram yang tidak terlalu bergantung kepada kejutan semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan, MIG turut memaklumkan bahawa satu lagi filem terbitannya berjudul Nar’Sata: Sekutu Setan telah selesai menjalani penggambaran dan kini menunggu tarikh tayangan rasmi.

Filem itu dijangka menemui penonton pada April 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan MIG sebagai antara penerbit aktif dalam memperkaya landskap filem tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular