editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Jenama minuman terkenal dari Indonesia, Ai-CHA, menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya Ai-CARE, telah menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM150,000 bagi membantu keluarga terjejas banjir serta pengusaha cawangan Ai-CHA di beberapa negeri utara Semenanjung Malaysia.
Misi bantuan yang berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Disember itu memberi tumpuan kepada kawasan terjejas di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Sepanjang misi terbabit, lebih 6,000 pek bantuan dengan anggaran nilai RM100,000 telah diagihkan kepada mangsa banjir di 12 lokasi berbeza merangkumi sekolah, rumah kebajikan, masjid dan pusat komuniti.
Antara lokasi penerima bantuan termasuk Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Rumah Anak Yatim Amal Solehah Pendang, Masjid Zahir, Masjid Al-Bukhari, Rumah Teduh Perlis, Superkids Care Centre serta beberapa institusi komuniti tempatan lain.
Setiap pek bantuan mengandungi barangan keperluan asas seperti mi segera, uncang teh serta baucar tunai Ai-CHA bagi meringankan beban keluarga yang sedang melalui fasa pemulihan.

Selain membantu masyarakat setempat, misi banjir Ai-CARE turut memberi perhatian khusus kepada pengusaha cawangan Ai-CHA yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Sekurang-kurangnya lima cawangan di kawasan utara dilaporkan mengalami pelbagai tahap kerosakan akibat banjir.
Sehubungan itu, ibu pejabat Ai-CHA telah menyalurkan bekalan barangan asas bernilai lebih RM13,000 kepada semua 92 cawangan di negeri-negeri terbabit, selain menyediakan baucar tunai berjumlah RM15,000 khusus untuk lima cawangan yang terjejas teruk bagi membantu mereka beroperasi semula.
Tambahan peruntukan turut diberikan meliputi RM5,000 bagi kos logistik serta RM10,000 bagi membantu kakitangan yang turut terkesan sepanjang tempoh bencana.
Sebagai langkah sokongan berterusan kepada pengusaha dan komuniti setempat, Ai-CHA turut memperkenalkan promosi khas dari 15 hingga 21 Disember di semua cawangan Ai-CHA di utara Semenanjung.
Dalam tempoh itu, pelanggan boleh menikmati minuman Passion Fruit dan Hawaiian Nut pada harga promosi RM3.
Pada masa yang sama, ibu pejabat Ai-CHA menyumbangkan bekalan bahan mentah iaitu jem buah markisa ke semua 92 cawangan terbabit bagi memastikan operasi dapat disambung semula tanpa menambah beban kos, sekali gus mengekalkan harga mampu milik untuk pelanggan yang masih dalam proses pemulihan pasca banjir.
Keseluruhan operasi logistik dan pengagihan bantuan diuruskan sepenuhnya oleh pasukan dalaman Ai-CHA, melibatkan seramai 15 orang sukarelawan.

Misi ini dipimpin sendiri oleh Pengurus Besar Wilayah kumpulan syarikat berkenaan, Vincent Ong Wei Ho, yang turun padang bersama Pengurus Negara bagi Semenanjung Malaysia dan Singapura, Low Hon Yau, bagi memastikan setiap bantuan disampaikan dengan lancar dan berkesan.
Menurut Vincent Ong, inisiatif Ai-CARE mencerminkan nilai teras Ai-CHA yang percaya bahawa sebahagian daripada rezeki yang diterima wajar dikembalikan kepada masyarakat.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada komuniti setempat menjadi pemangkin kepada kejayaan jenama itu, dan melalui misi bantuan banjir ini, Ai-CHA mahu memastikan masyarakat yang terkesan tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi musibah.
Ditubuhkan pada tahun 2019 oleh adik-beradik Lie dari Indonesia, Ai-CHA kini telah berkembang ke 31 negara merentas Asia dan Afrika.
Sejak membuka cawangan pertamanya di Malaysia pada tahun 2024, jenama ini berkembang pesat dengan lebih 600 cawangan di seluruh negara.
Selain menawarkan minuman dan aiskrim berkualiti pada harga mampu milik, Ai-CHA terus menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat melalui program Ai-CARE yang setakat ini telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 individu di Malaysia.

