editormaxinfo@gmail.com
MELAKA – Platform video mudah alih terkemuka dunia, TikTok, terus memperkukuh komitmennya terhadap keselamatan digital dengan menganjurkan program kesedaran literasi digital bertajuk “Surf’s Up: Deputies of Digital Literacy” di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Program ini adalah sebahagian daripada usaha TikTok memperluas inisiatif keselamatan sibernya ke luar Lembah Klang, selaras dengan matlamat menjadikan generasi muda lebih beretika dan bertanggungjawab di alam maya.
Bertemakan “Online With A Purpose”, siri jelajah kampus tersebut diadakan bersempena Pesta Konvokesyen UTeM 2025 dan memberi tumpuan kepada cara membina jejak digital positif dalam kalangan bakal graduan.
Inisiatif ini juga menekankan kepentingan menjadi ‘netizen’ berhemah, di samping meningkatkan kesedaran mengenai bagaimana perilaku dalam talian mampu mempengaruhi reputasi dan peluang kerjaya pada masa hadapan.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan pihak universiti, melibatkan sesi panel interaktif yang menampilkan barisan tokoh profesional daripada pelbagai bidang termasuk dasar awam, akademik dan penciptaan kandungan digital.

Antara panel yang terbabit ialah Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia, Aliff Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood; Pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber UTeM, Ts. Dr. Muhammad Noorazlan Shah; serta Pengasas dan pencipta kandungan Aiszzy Electronics, Ts. ’Aqilah Zainuddin. Sesi berkenaan dikendalikan oleh pencipta kandungan popular, Hazeman Huzir.
Perbincangan memberi tumpuan kepada hubungan antara pendidikan, teknologi dan keselamatan dalam talian.
Panel sependapat bahawa kehadiran digital pelajar kini menjadi lanjutan kepada identiti profesional mereka, justeru kemahiran literasi digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan penting untuk masa depan kerjaya.
Menurut Ts. Dr. Muhammad Noorazlan Shah, pelajar perlu memahami bahawa setiap perkongsian dalam talian membawa implikasi terhadap prospek pekerjaan mereka.
“Literasi digital harus dianggap sebagai kemahiran hidup, bukan sekadar topik di bilik darjah. Majikan masa kini sering meneliti profil media sosial calon, maka setiap hantaran adalah refleksi keperibadian dan kredibiliti.
“Pelajar perlu menggunakan platform digital untuk menonjolkan kemahiran dan nilai positif, bukan sekadar perkongsian tanpa tujuan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Zakaria berkata, keselamatan dalam talian adalah tanggungjawab bersama antara platform, pengawal selia dan pengguna.
Beliau turut memperkenalkan kempen kesedaran #ThinkTwice yang digerakkan oleh TikTok bagi mendidik pengguna supaya berfikir secara kritikal sebelum berkongsi kandungan.
“Kami ingin memastikan komuniti kami berasa selamat untuk mengekspresikan diri dalam persekitaran digital yang positif.
“Melalui alat keselamatan seperti Family Pairing, Manage Topics dan Creator Care Mode, pengguna boleh menikmati pengalaman dalam talian dengan lebih terkawal dan beretika,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, asas kepada keselamatan digital terletak pada tanggungjawab individu dan kawal selia kendiri.
“Internet tidak menghapuskan tanggungjawab kita, sebaliknya memperbesarkannya. Kolaborasi dengan TikTok dalam siri Surf’s Up ini penting untuk memupuk budaya digital yang berteraskan tanggungjawab sivik dan etika komuniti,” katanya.
Program turut menampilkan segmen “Tik-Talks”, di mana Ts. ’Aqilah Zainuddin, jurutera elektronik dan pencipta kandungan TikTok, berkongsi kisah bagaimana beliau memanfaatkan platform digital untuk menggabungkan pengetahuan teknikal dengan penceritaan kreatif.

“Saya bermula sebagai seorang introvert, tetapi kini menggunakan TikTok untuk mendidik orang ramai tentang teknologi dan kejuruteraan.
“Keaslian dan tanggungjawab dalam setiap kandungan adalah kunci kepada impak digital yang berkekalan,” katanya.
Sesi penutup menyaksikan lebih 300 graduan UTeM mengikrarkan komitmen terhadap kempen keselamatan #ThinkTwice, sebagai simbol kesediaan mereka untuk menjadi warga digital yang beretika dan berdisiplin.
Program Surf’s Up di UTeM merupakan edisi keempat siri jelajah universiti oleh TikTok Malaysia, selepas kejayaan penganjurannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), University of Nottingham Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Secara keseluruhan, kempen ini telah mengumpul lebih 1,000 ikrar keselamatan digital, sekali gus menunjukkan impak positif usaha TikTok dalam memperkukuh literasi digital generasi muda Malaysia.

