editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ratu Pop Indonesia, Datuk Seri Rossa sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam dunia seni apabila berjaya menawan dua stadium di dua negara menerusi konsert berskala besar bertajuk “Here I Am”.
Selepas kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 12,000 penonton di Indonesia Arena, Jakarta, Rossa meneruskan gemilangnya di Malaysia dengan kehadiran lebih 10,000 peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025 yang lalu.
Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan pengaruh luar biasa Rossa dalam industri muzik Nusantara, malah memperkukuh kedudukannya sebagai antara penyanyi solo paling berpengaruh di rantau ini.
Di Jakarta, beliau mencatat sejarah sebagai penyanyi solo Indonesia pertama yang menjayakan konsert berskala stadium tertutup nasional di Indonesia Arena, menampilkan produksi pentas berstandard antarabangsa dengan persembahan yang penuh emosi dan bertenaga.
Kuala Lumpur menjadi destinasi seterusnya bagi siri konsert berprestij ini dan sambutan hangat peminat membuktikan populariti Rossa di Malaysia masih utuh.

Tiket konsert dijual pada harga bermula RM288 hingga RM5,000 dan acara megah itu turut dihadiri tokoh-tokoh ternama termasuk selebriti terkenal dari Malaysia dan Indonesia serta beberapa kenamaan.
Dalam ucapan pembukaannya, Rossa melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali ke Axiata Arena selepas 15 tahun. “Alhamdulillah akhirnya saya dapat kembali lagi ke Axiata Arena setelah 15 tahun.
“Saya sangat bersyukur, apatah lagi saya selalu menganggap Malaysia sebagai negara kedua. Kerana apa? Kerana kalian selalu menerima saya sebagai salah satu keluarga,” katanya penuh emosi di hadapan lautan peminat.

Antara tetamu istimewa yang hadir pada malam itu termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Dayang Nurfaizah, Bella Astillah, Melly Goeslaw, Ivan Gunawan dan Ruben Onsu.
Siti Nurhaliza, yang hadir mengenakan busana serba hitam dan ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, mencuri perhatian apabila secara spontan berduet bersama Rossa membawakan lagu Percayalah, yang pernah dipopularkan oleh Siti sendiri.
“Siti, sepertinya kamu sudah siap untuk naik ke atas pentas,” kata Rossa berseloroh, disambut sorakan gemuruh daripada penonton.
Sepanjang lebih tiga jam persembahan, Rossa membawakan lebih 30 buah lagu hit sepanjang kariernya.

Konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan seperti Ariel, Ernie Zakri, MK K-Clique, Dipha Barus, Hael Husaini, dan Eka Gustiwana.
Dua kumpulan vokal yang terdiri daripada anak didik Rossa sendiri turut tampil The Ladies dari Indonesian Idol (Rimar, Syarla, Jemimah dan Awdella), serta finalis One in A Million asal Malaysia (Kai Deva, Mary Grace dan Zazleen).
Rossa turut mempersembahkan lagu terbaharunya Serasa X Juwita bersama Dipha Barus serta lagu Sinaran bersama MK K-Clique, yang akan dimuatkan dalam album mini terbaharu beliau bertajuk Asmara Dansa.

Persembahan beliau tidak hanya sarat dengan emosi dan nostalgia, malah turut menyuntik elemen segar dan kontemporari.
Penampilan Rossa pada malam itu turut mendapat perhatian kerana gaya fesyennya yang memukau.
Beliau menggayakan dua gaun eksklusif satu gaun putih rekaan Adeline Ester untuk segmen pembukaan, dan satu lagi gaun panjang berhias kristal Swarovski hasil rekaan pereka Malaysia, Khoon Hooi.
Sepanjang siri konsert ini, Rossa tampil dengan sebelas busana eksklusif hasil rekaan pereka terkemuka Indonesia dan Malaysia, menambahkan lagi elemen glamor dan keanggunan ke atas pentas.
Konsert Here I Am adalah hasil kerjasama antara Inspire Production, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Sah Entertainment.

Dari aspek produksi, lebih 180 tenaga profesional dari Jakarta diterbangkan khas untuk menjayakan konsert ini, termasuk penari, pemuzik dan kru teknikal.
Malaysia turut menyumbang tenaga kreatif, termasuk barisan pemuzik orkestra dan penari tempatan yang menyemarakkan lagi suasana persembahan.
Rossa berkata, Here I Am bukan sekadar konsert, tetapi adalah refleksi perjalanan seninya selama lebih tiga dekad.
“Judul konsert Here I Am dipilih mewakili saya secara peribadi sebagai Rossa dan juga sebagai seorang pekerja seni.
“Ia adalah ajakan kepada setiap insan untuk menerima diri sendiri tanpa rasa rendah diri, serta menghargai dan mencintai diri seadanya.
“Sebagai penyanyi, konsert ini menjadi penanda aras perjalanan saya, meliputi lagu-lagu hit, album, anugerah dan persembahan sepanjang karier saya,” katanya.
Dengan pencapaian luar biasa ini, Rossa terus membuktikan bahawa cintanya terhadap muzik dan peminat tidak pernah pudar.
Here I Am bukan sahaja meraikan warisan seni yang telah dibina selama ini, tetapi juga memperkukuh tempatnya sebagai ikon muzik serantau yang terus relevan, dihormati dan dikagumi.