editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka akan mengumumkan senarai sekolah yang terbabit dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media mingguannya hari ini.
Beliau berkata, senarai sekolah yang akan diarahkan menjalani PdPR sedang dikenal pasti, khususnya institusi yang terletak berhampiran lokasi utama persidangan atau sepanjang laluan strategik menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang menjadi lokasi utama sidang kemuncak.
“Pihak KPM akan mengenal pasti sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan laluan utama Sidang Kemuncak ASEAN dan pelajar dari sekolah terbabit akan dibenarkan mengikuti pembelajaran dari rumah. Senarai penuh akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau turut menggesa majikan sektor swasta yang beroperasi di kawasan sekitar KLCC agar mempertimbangkan pemberian kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada kakitangan mereka sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
Katanya, inisiatif ini penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memastikan kelancaran perjalanan delegasi serta pelaksanaan acara berprofil tinggi itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan kenyataan membenarkan penjawat awam yang berisiko terkesan dengan kesesakan lalulintas untuk memohon bekerja dari rumah.
Katanya, keputusan itu sejajar dengan usaha kerajaan memastikan kelancaran urusan pentadbiran awam tanpa menjejaskan pengoperasian Sidang Kemuncak ASEAN.
Bagi memastikan pengurusan trafik yang lebih tersusun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumumkan pelan laluan utama serta pengurusan trafik di kawasan terbabit.
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Pangkalan Tentera Udara Subang, KLCC dan beberapa hotel penginapan rasmi delegasi luar negara.
“Saya menyeru media dan orang ramai agar sentiasa mengikuti makluman terkini daripada PDRM bagi merancang pergerakan masing-masing sepanjang hari-hari persidangan berlangsung,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini adalah platform penting bagi pemimpin 10 negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu serantau dan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi dan keselamatan.
Malaysia yang mengambil alih tampuk kepengerusian ASEAN bermula 1 Januari 2025, membawakan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menzahirkan komitmen negara untuk membina rantau yang lebih bersatu, progresif dan makmur.
Selain daripada Sidang Kemuncak utama, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC serta Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa melalui jalinan kerjasama strategik dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Dalam sidang media yang sama, Fahmi turut memaklumkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), yang akan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini, dijangka menerima jumlah pengunjung lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya.
Pameran yang bertemakan “Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan” itu merupakan antara acara industri pertahanan terbesar di Asia Tenggara sejak diperkenalkan pada tahun 1991.
Dengan pelbagai acara bertaraf antarabangsa berlangsung sepanjang bulan Mei ini, kerajaan komited memastikan segala persiapan logistik, keselamatan dan kemudahan awam berada pada tahap terbaik demi menjayakan agenda negara di pentas serantau dan global.

