editormaxinfo@gmail.com
MELAKA – Kedaulatan perairan negara terus dipertahankan tanpa kompromi apabila Operasi NAGA kini memasuki fasa baharu dengan penyelarasan taktikal yang lebih agresif dan bersepadu, dalam usaha membanteras pencerobohan oleh vesel nelayan asing (VNA) ke dalam Zon Maritim Malaysia.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Op NAGA bukanlah satu operasi rutin biasa, sebaliknya ia inisiatif bersepadu antara pasukan keselamatan dan pelbagai agensi penguat kuasa untuk menangkis ancaman yang semakin meruncing di perairan negara, khususnya di kawasan strategik seperti Laut China Selatan.
“Operasi ini bukan sekadar bertujuan menangkap penceroboh. Ia juga menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada komuniti antarabangsa bahawa perairan Malaysia bukan tempat untuk diceroboh sesuka hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Op NAGA Bil. 1/2025 yang diadakan hari ini.
Dalam mesyuarat berkenaan, beliau turut menekankan Op NAGA memberi fokus kepada pembanterasan aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU Fishing) yang bukan sahaja mengancam sumber ekonomi negara, tetapi juga menjejaskan ekosistem maritim dan secara langsung mencabul sempadan maritim Malaysia.
Kerjasama erat antara semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa lain amat diperlukan dalam memastikan keberkesanan operasi ini.

Antara yang hadir dalam mesyuarat itu termasuklah Asisten Ketua Staf, Operasi dan Latihan, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin; Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab; Timbalan Pengarah Kastam, Tuan Mohd Nasir Mustapha; dan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis Noor Azman Jamal.
Mohd Zawawi turut berkongsi pencapaian penting sejak Op NAGA mula digerakkan pada April 2019.
Sehingga Disember 2024, sebanyak 619 kes tangkapan telah direkodkan.
Nilai keseluruhan hasil tangkapan, denda dan lelongan pula mencecah RM141,789,783.36, sekali gus membuktikan impak besar operasi ini terhadap pulangan pelaburan kerajaan dalam aspek keselamatan maritim dan ekonomi negara.
“Jumlah ini bukan sekadar angka atas kertas, tetapi mencerminkan hasil nyata terhadap pelaburan kerajaan dalam menjaga kedaulatan maritim.
“Ia juga memberi manfaat langsung kepada pendapatan nelayan tempatan serta memelihara maruah perairan kita,” katanya.
Op NAGA kini membabitkan penglibatan seramai 14 agensi utama termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Perikanan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Laut Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), serta agensi-agensi dari Sabah seperti Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah (JPDS), Taman-Taman Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mesyuarat turut membincangkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh operasi, termasuk penambahan aset strategik, risikan lebih menyeluruh, serta pendekatan jangka panjang bagi memastikan penguatkuasaan maritim negara dapat dijalankan dengan lebih efektif dan berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Maritim Malaysia memberi jaminan bahawa mereka akan terus memperhebat rondaan dan pemantauan perairan negara bagi memastikan tiada sebarang anasir asing yang cuba menggugat keselamatan dan kedaulatan maritim Malaysia.