editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Dunia sukan tempur Malaysia bakal menyaksikan lembaran baharu apabila Fury Championship, sebuah kejohanan tempur yang menggabungkan elemen sukan, hiburan dan pengaruh media sosial, akan dilangsungkan buat pertama kalinya pada 2 Mei 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Kejohanan yang dijangka mencetuskan fenomena tersendiri ini bakal mempertemukan barisan atlet profesional, pencabar amatur, pempengaruh digital serta selebriti tempatan dalam satu pentas pertarungan yang menjanjikan aksi penuh debar dan intensiti.
Ia bukan sekadar acara sukan, malah menjadi simbol perkembangan pesat industri seni bela diri dan sukan tempur di negara ini.

Fury Championship diasaskan oleh Wafiy selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Jaa Suzuran sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO), dua figura muda yang berkongsi minat mendalam terhadap dunia sukan tempur.
Terinspirasi oleh kejayaan pentas antarabangsa seperti ONE Championship, mereka berazam menjadikan Fury sebagai jenama utama tempatan yang mampu menyaingi platform global dari segi penganjuran, kualiti pertarungan dan nilai hiburan.
“Matlamat kami adalah untuk merangsang sukan tempur di Malaysia dengan menghimpunkan bakat paling menarik dari pelbagai latar belakang.
“Sama ada anda peminat tegar atau sekadar mencari hiburan penuh aksi, Fury Championship bakal memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Wafiy.
Sementara itu, Jaa Suzuran berkata, kejohanan ini bukan sekadar malam pertarungan, tetapi permulaan kepada gerakan yang lebih besar untuk memperkasakan penglibatan komuniti tempur tempatan dan memperluas pengiktirafan terhadap atlet yang sering bekerja keras di sebalik tabir.

“Kami mahu wujudkan satu ekosistem di mana pejuang berpengalaman dan bakat baharu mempunyai ruang untuk menyerlah.
“Dalam masa yang sama, kami ingin menghiburkan penonton dengan pertarungan berkualiti tinggi serta pengisian menarik yang mampu merapatkan jurang antara sukan, media dan komuniti,” katanya.
Fury Championship turut menyasarkan untuk menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, dengan menyuntik elemen unik seperti pertembungan selebriti, perlawanan amal, serta acara sampingan yang menyatukan komuniti seni bela diri, peminat hiburan dan penyokong sukan.
Gabungan pertarungan profesional bertaraf tinggi, aksi amatur yang mendebarkan serta pembabitan tokoh-tokoh popular dari dunia hiburan dan media sosial dijangka menjadi tarikan utama yang bakal mengangkat kejohanan ini sebagai penanda aras baharu dalam landskap sukan tempur Malaysia.
Dengan persiapan rapi dan sokongan padu daripada peminat serta komuniti seni bela diri, Fury Championship 2025 bersedia untuk mencipta sejarah dan mencorakkan masa depan sukan tempur tempatan ke arah yang lebih berprestij dan inklusif.
