27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Kapal MPMS buatan Turkiye bakal jadi aset baharu keamanan Maritim negara

editormaxinfo@gmail.com

ANKARA – Malaysia terus memperkukuh keselamatan perairan negara dengan termeterainya perjanjian perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Majlis penandatanganan Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal berkenaan berlangsung di Desan Shipyard, Turkiye, baru-baru ini sebagai langkah strategik untuk mempertingkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim, terutamanya di Laut China Selatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, kapal MPMS yang bernilai USD68.8 juta ini adalah satu aset penting yang akan memperkukuh keselamatan perairan negara dan mempererat hubungan kerjasama antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan serta industri pembinaan kapal.

“Perolehan kapal ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia, tetapi juga bukti komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, turut berkongsi butiran mengenai kapal terbabit.

“Kapal sepanjang 99 meter ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.

“Ia mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan boleh membawa 70 kru serta 30 penumpang.

“Selain itu, kapal ini turut dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas, dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan, dan pusat tahanan,” katanya.

Kapal ini akan memberi tumpuan utama kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan, dan pemerdagangan manusia.

Perolehan kapal MPMS ini turut menjadi sebahagian daripada rangkaian kerjasama yang dimeterai selepas sesi pertukaran dokumen rasmi yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan, semasa lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke Malaysia pada 11 Februari lalu.

Selain penandatanganan SST, delegasi Malaysia juga telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat dan limbungan Desan Shipyard untuk melihat keupayaan dan teknologi pembinaan kapal syarikat itu.

Dengan perolehan kapal MPMS ini, Maritim Malaysia berharap dapat meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara, sekali gus memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus terpelihara di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular