25.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 6, 2026

Konsert ‘Slam X Exists-Our Journey’ bawa nostalgia dan kembara muzik legenda di Mega Star Arena

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – ‘Slam X Exists-Our Journey’, sebuah konsert yang dijanjikan bakal memberi pengalaman luar biasa kepada peminat muzik tanah air, akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025, ini.

Penganjuran konsert oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records bukan sekadar sekumpulan persembahan biasa, tetapi juga sebuah perjalanan panjang dua kumpulan legenda, Slam dan Exists, yang telah mengukir nama dalam industri muzik Malaysia sejak lebih dua dekad lalu.

Pengasas SS Karya Venture Shah Nizam Abdul Halim berkata, tema ‘Slam X Exists-Our Journey’ adalah sangat signifikan kerana ia menggambarkan perjalanan muzik kedua-dua kumpulan ini yang penuh dengan jatuh bangun dan kejayaan.

“Konsert ini bukan hanya untuk menghiburkan, tetapi juga untuk menceritakan perjuangan mereka dalam membina reputasi sebagai ikon muzik Nusantara,” katanya.

Slam dan Exists mempunyai sejarah yang saling berkait. Slam dibentuk oleh salah seorang anggota Exists, Shah, yang kemudiannya bersama anggota lain seperti Lili, Man, Zamani, dan Eddie menempa kejayaan.

Manakala, Exists yang berasal dari Johor Bahru telah bertahan selama dua dekad dengan beberapa perubahan dalam susunan ahli, termasuk vokalisnya dari Mamat, Ezad, hingga Ezad yang kini menjadi tulang belakang kumpulan itu bersama Ajai, Ujang, Along, dan Musa.

Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu hit kedua-dua kumpulan, seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam) dan Julia, Langkah Seiringan, Jesnita (Exists), selain seleksi lagu nostalgia yang pastinya akan mengimbau kenangan manis kepada peminat.

Tidak hanya itu, penonton juga bakal menyaksikan Ezad dan Zamani berduet di atas pentas, menghangatkan suasana dengan vokal mereka yang memikat.

Sementara itu, vokalis Slam, Shah Slam, turut menambah, mereka berharap ‘Slam X Exists-Our Journey’ dapat memberikan momen berharga buat peminat yang telah lama menyokong kumpulan ini.

“Ini adalah perjalanan bukan hanya untuk kedua-dua kumpulan, tetapi juga perjalanan anda yang sentiasa menyokong muzik kami,” katanya.

Harga tiket untuk ‘Slam X Exists-Our Journey’ bermula dari RM168 untuk PS 4 Langkah Seiringan, RM268 (PS3 Rindiani), RM368 (PS2 Julia), RM388 (PS1 Jesnita), RM448 (VIP Maria Mariana), dan RM3000 untuk Grand VIP Kembali Terjalin.

Tiket kini boleh diperoleh secara dalam talian melalui www.ilassoTicket.com/slamexists.

Tiket PS4 Langkah Seiringan telah habis terjual dalam masa 3 hari sahaja, manakala tiket PS3 juga hampir sold out dalam masa seminggu selepas diumumkan.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menjadi sebahagian daripada ‘Slam X Exists-Our Journey’

Jangan lupa untuk hadir pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena dan nikmati sebuah perjalanan muzik yang penuh kenangan, nostalgia, dan semangat yang tak akan dilupakan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular