25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 16, 2025

Rayuan Syed Saddiq: Tiada keputusan hari ini, proses dilanjutkan esok – Hakim

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan memaklumkan tiada keputusan akan dibuat hari ini berhubung rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, mengumumkan perkara terbabit pada prosiding yang bermula pada jam 12.15 tengah hari.

“Hari ini, kita akan mendengar rayuan daripada perayu, Syed Saddiq terlebih dahulu, dan akan berhenti untuk rehat tengah hari.

“Esok, kita akan menyambung hujahan daripada pihak pendakwaan,” kata Hakim Ahmad Zaidi.

Prosiding dimulakan dengan hujahan daripada peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Syed Saddiq, 33.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hujahan bagi kedua-dua pihak akan dijalankan selama dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Mac.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

Mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan keterangannya sebagai “tidak masuk akal.”

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Syed Saddiq kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya, dan menuntut dibebaskan daripada empat kesalahan terbabit serta agar hukuman yang dijatuhkan diketepikan.

Menurut Syed Saddiq, hakim dalam perbicaraan sebelum ini terkhilaf dari segi undang-undang ketika mensabitkan beliau atas empat kes berkenaan.

Beliau mendakwa hakim gagal memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan, menyebabkan beliau terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.

Jika rayuan ini gagal, Syed Saddiq masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan. Namun, jika panel hakim menerima rayuan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, beliau akan dibebaskan serta-merta.

Untuk pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, untuk melakukan pecah amanah membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA, dan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga menghadapi dua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, dengan memindahkan wang RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada Jun 2018.

Jika sabitan ini dikekalkan, Syed Saddiq boleh dihukum dengan hukuman penjara dan denda yang berat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular