26.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 16, 2025

Lotus’s Malaysia bantu 200 keluarga menerusi kempen kebajikan Ramadan, #KitakanJiran

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia terus menunjukkan komitmennya dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan melancarkan kempen kebajikan #KitakanJiran, yang bertujuan untuk membantu 200 keluarga beragama Islam yang memerlukan melalui kariah masjid tempatan.

Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh berkat ini, Lotus’s Malaysia dengan kerjasama Coca-Cola Refreshments (Malaysia) Sdn Bhd, melancarkan inisiatif Act of Kindness, yang bertemakan Senyuman Paling Bernilai.

Ketua Komunikasi dan Kelestariannya, Hanim Hamdan berkata, setiap keluarga yang menerima bantuan akan menerima ayam segar Lotus’s serta barangan keperluan asas bernilai RM250 bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa dan menikmati hidangan yang berkhasiat.

Sumbangan pertama telah disampaikan oleh sukarelawan daripada kedua-dua syarikat terbabit pada hari ke-10 Ramadan, bertempat di Masjid Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Hanim berkata, program ini akan diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk Rawang, Bangi dan Kota Bharu, Kelantan pada minggu yang akan datang.

“Peluang untuk berbuat baik akan menyatukan kita. Kempen kebajikan seperti ini bukan sahaja memberi matlamat yang sama kepada sukarelawan dan rakan niaga, tetapi juga memberikan kepuasan dan keikhlasan dalam membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, sumbangan yang diberikan dalam program ini, termasuk ayam segar, barangan keperluan asas, minuman, konfeksi dan perasa, dianggarkan bernilai RM250,000.

Lotus’s Malaysia turut meneruskan Program Masakan Ramadan yang menyediakan 600 hidangan berbuka puasa dengan sokongan sukarelawan daripada Food Aid Foundation dan rakan jenama lain.

Hanim berkata, sebanyak 220 sukarelawan akan turun padang ke seluruh negara untuk menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam dan masjid-masjid tempatan, yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih daripada 16,000 individu serta keluarga mereka.

“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, dan dengan pelbagai aktiviti kebajikan yang berlangsung di seluruh negara, kami di Lotus’s Malaysia bertekad untuk membantu komuniti di 40 lokasi sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Program kebajikan ini turut disokong oleh syarikat-syarikat seperti Coca-Cola, PK Agro-Industrial Products Sdn Bhd, Fraser & Neave (Malaya) Sdn Bhd, Mondelēz Malaysia Sales Sdn Bhd, Etika Sdn Bhd, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular