editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, mengumumkan pengenalan enam laluan baharu dalam rangkaian perkhidmatan Rapid KL On-Demand.
Perkhidmatan baru ini akan mula beroperasi pada 17 Februari 2025, dengan tujuan untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada lebih ramai pengguna, terutama di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi dan yang belum mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang mencukupi.
Laluan-laluan baharu ini meliputi kawasan strategik, termasuk kawasan yang memiliki kesalinghubungan langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL.
Berikut adalah laluan-laluan baharu yang akan diperkenalkan:
- T772B – Saujana Utama/Elmina ke Jalan Kuala Selangor (3 van, aplikasi tempahan Kummute)
- T752B – Putra Heights ke LRT Putra Heights (3 van, aplikasi tempahan Mobi)
- T640B – Taman Medan ke Jalan Klang Lama (4 van, aplikasi tempahan Trek Rides)
- T821B – Pantai Sentral ke LRT Universiti (2 van, aplikasi tempahan Trek Rides)
- T400B – Bandar Tun Razak ke Taman Midah (4 van, aplikasi tempahan Kummute)
- T252B – Danau Kota ke Jalan Genting Kelang (4 van, aplikasi tempahan Kummute)
Antara laluan yang paling dinanti adalah T752B (Putra Heights ke LRT Putra Heights) dan T821B (Pantai Sentral ke LRT Universiti), yang terus menghubungkan penumpang dengan perkhidmatan rel Rapid KL.
Selain itu, laluan-laluan seperti T252B dan T640B akan mengguna lorong bas utama, membolehkan perjalanan lebih lancar dan menyeluruh.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria berkata, pengenalan laluan baharu ini adalah kesinambungan kepada kejayaan pengenalan empat laluan tambahan pada 1 Februari lalu.
Laluan-laluan berkenaan telah berjaya menarik lebih 1,700 pengguna dalam masa dua minggu sahaja, mencatatkan prestasi yang membanggakan.
“Rapid Bus akan terus menambah laluan-laluan baharu secara berperingkat seiring dengan penerimaan van-van baharu.
“Inisiatif ini adalah usaha berterusan kami untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dan menyenangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand memberi kemudahan kepada pengguna untuk menempah tempat duduk dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam setiap hari melalui aplikasi Mobi, Trek Rides, atau Kummute, bergantung kepada kawasan masing-masing.
Dengan tambang promosi RM1 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh menikmati perjalanan dengan menggunakan kad Touch ‘n Go, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan OKU Smile, serta Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity, dan Pas Famili).
Jangan lepaskan peluang untuk merasai kemudahan perkhidmatan baru ini, dengan tambang promosi RM1 yang kini dilanjutkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk mencuba.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my atau ikuti media sosial mereka.