28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Konsert ‘A Lovely Night with Udit Narayan’: Siti Nordiana teruja duet dengan legenda Bollywood

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert eksklusif “A Lovely Night with Udit Narayan” akan berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 26 April 2025.

Acara besar ini menampilkan penyanyi Bollywood terkenal, Udit Narayan, yang akan menghiburkan peminat-peminat dengan suaranya yang ikonik.

Apa yang lebih menarik, konsert ini bakal menjadi detik bersejarah apabila penyanyi Malaysia yang terkenal, Siti Nordiana, atau lebih dikenali sebagai Nana, berpeluang berduet dengan Udit Narayan.

Ini adalah kali pertama kedua-dua artis hebat ini berkongsi pentas bersama.

Siti Nordiana yang dikenali dengan lagu hit “Leman” berkata dia sangat teruja dan tidak menyangka diberi peluang untuk berduet dengan idolanya.

“Saya ingat saya hanya akan diberi peluang untuk membuat ‘opening act’, tapi rupanya saya akan berduet dengan Udit Narayan. 

“Saya sangat terkejut dan gembira kerana Udit adalah suara di sebalik banyak lagu-lagu Bollywood yang saya gemari sejak kecil,” katanya.

Walaupun teruja, Nana mengakui dia sedikit gementar untuk tampil bersama Udit Narayan, yang juga seorang penyanyi dengan vokal yang tiada tandingannya.

“Meskipun saya berdebar, saya akan lakukan yang terbaik untuk persembahan ini,” katanya.

Selain Udit Narayan dan Siti Nordiana, konsert ini juga akan menyaksikan pengacara Dee Jangan Ketawa dan penyanyi pempengaruh popular seperti Mamuji, Nadya Fharshah, dan Ar Wanz sebagai pembuka tirai acara.

Udit Narayan, yang terkenal dengan suara latar aktor Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan Amitabh Bachchan, telah menyanyikan lebih 25,000 lagu dalam pelbagai bahasa, termasuk Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada.

Kariernya yang menjangkau lebih tiga dekad telah memperolehnya 22.3 juta pendengar di Spotify, selain pelbagai anugerah muzik.

Peminat-peminat Bollywood di Asia Tenggara pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini secara langsung.

Tiket telah mula dijual sejak 28 Ogos 2024 yang lalu dan boleh didapati melalui ubertickets.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan malam yang pasti penuh dengan kenangan manis ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular