editormaxinfo@gmail.com
BANDUNG – Seorang pempengaruh media sosial Malaysia yang mendakwa kehilangan teman mereka di sebuah hutan di Kota Bandung, Indonesia, berisiko dikenakan hukuman berat kerana menyebarkan berita palsu.
Menurut Undang-Undang Nombor 11 Tahun 2008 mengenai Informasi dan Transaksi Elektronik (Pasal 14), individu yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga 1 bilion rupiah (RM272,000).
Laporan media Indonesia melaporkan, polis mendapati kandungan yang disiarkan oleh pempengaruh terbabit tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa, meskipun telah mendapat persetujuan daripada pengurus wilayah setempat.
Mereka berkata, siaran langsung yang diadakan di Bukit Embah Gatur, Kota Bandung pada Ahad lalu, yang disiarkan melalui TikTok, berkisarkan cerita sensasi mengenai seorang pempengaruh Malaysia bernama Eykaa yang kononnya hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal, hanyalah taktik untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.
Dalam perkembangan terkini, pempengaruh terbabit telah memohon maaf kepada pihak polis dan membuat kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa kejadian berkenaan tidak akan diulang lagi.
Mereka turut menegaskan, mereka tidak menyebarkan maklumat tentang undang-undang Indonesia yang mengenakan hukuman tegas terhadap penyebaran berita palsu.
Sebelum itu, Eykaa, seorang pempengaruh berusia 22 tahun, dilaporkan hilang selama tiga hari di hutan sebelum ditemui selamat pada malam Rabu.
Penemuan itu dikongsi menerusi penstriman langsung TikTok @Arasz sekitar jam 10 malam.
Sementara itu, pempengaruh lain, Ammar Nazhan atau lebih dikenali sebagai Ammar Nazhan Noralyadi, 29, tampil memberi penjelasan bahawa kejadian terbabit membabitkan gangguan mistik semasa mereka berada di sana.
Menurutnya, kejadian gangguan itu adalah benar, dan mereka terpaksa berpindah ke lokasi lain bagi mengelakkan masalah lebih teruk berlaku.