editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Permohonan untuk kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2025/2026 melalui platform UPUOnline akan dibuka mulai 10 Februari hingga 14 Mac 2025 untuk Fasa Pertama.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, Fasa Kedua permohonan akan dibuka mulai 14 April hingga 18 Mei depan.
Permohonan ini terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke program asasi, sijil, diploma, dan ijazah sarjana muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti, serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT).
“Bagi Fasa Pertama, semua program pengajian boleh dipohon, manakala Fasa Kedua hanya membolehkan permohonan untuk program yang tidak membabitkan temu duga atau ujian.
“Pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dilakukan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 9 Februari ini,” katanya.
Pemohon boleh membeli nombor pin di 350 cawangan BSN, 700 mesin ATM BSN, atau melalui perbankan internet myBSN.
Pastikan slip pembayaran disimpan sebagai bukti pembelian yang sah.
KPT turut menggalakkan semua calon berkelayakan untuk memanfaatkan peluang ini, kerana sebanyak 350 program pengajian ditawarkan untuk lepasan SPM, manakala 1,131 program disediakan untuk lepasan STPM atau setaraf di institusi-institusi seluruh negara.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA di Jabatan Pendidikan Tinggi atau menghubungi talian 03-86842363 atau melalui e-mel di upu@mohe.gov.my.

