27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 15, 2025

OpenAI lancar alat ‘Deep Research’, tanggapi persaingan dengan DeepSeek

editormaxinfo@gmail.com

SAN FRANCISCO – OpenAI baru-baru ini melancarkan alat terbaru mereka, ChatGPT ‘deep research’, sebagai langkah balas terhadap kebangkitan DeepSeek, chatbot kos rendah dengan prestasi tinggi yang dibangunkan di China, yang semakin mencabar kedudukan mereka dalam dunia teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut kenyataan daripada gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) ini, “Deep research” adalah ejen AI canggih yang mampu melakukan kerja penyelidikan secara menyeluruh, termasuk menganalisis dan mensintesis beratus-ratus sumber dalam talian untuk menghasilkan laporan komprehensif pada tahap yang setara dengan penganalisis kajian profesional.

Sejak pelancarannya pada 2022, ChatGPT telah menjadi pilihan ramai pengguna kerana keupayaannya menyelesaikan pelbagai tugas yang biasanya memakan masa berjam-jam dalam hanya beberapa minit.

Kini, dengan alat “deep research” ini, OpenAI berhasrat untuk melangkah lebih jauh dalam memberikan hasil yang lebih mendalam dan tepat dalam pelbagai bidang seperti kewangan, sains, dasar, dan kejuruteraan.

Pada satu video strim langsung yang dipaparkan, alat ini telah menunjukkan keupayaannya mensintesis data carian web untuk memberi cadangan peralatan ski terbaik yang boleh dibeli bagi percutian ke Jepun, membuktikan kehebatan dalam aplikasi dunia nyata.

Kebimbangan OpenAI semakin ketara apabila DeepSeek, yang kini menguasai carta muat turun pengguna di AS, mengancam dominasi mereka.

Sebagai reaksi pantas, OpenAI memperkenalkan alat “deep research” untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran AI yang semakin kompetitif.

Namun, difahamkan alat “deep research” ini hanya tersedia untuk pengguna Pro dengan bayaran langganan sebanyak AS$200 (RM875) sebulan.

Ini menandakan hanya pengguna yang bersedia melabur untuk mendapatkan akses kepada keupayaan penyelidikan yang lebih mendalam ini. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular