27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 15, 2025

MCMC perkenal Chatbot AI, AIFA, untuk tangkis berita palsu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia kini memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk menentang penyebaran berita palsu dengan pelancaran platform chatbot baharu, dikenali sebagai AIFA atau ‘Artificial Intelligence Fact-check Assistant’, yang boleh diakses melalui aplikasi WhatsApp dan portal Sebenarnya.my.

AIFA, yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dibangunkan melalui kerjasama dengan beberapa rakan strategik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, chatbot ini tersedia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia menyemak kesahihan maklumat.

“AIFA adalah alat yang sangat penting untuk membantu rakyat mendapatkan maklumat yang sahih dan disahkan oleh pihak berwajib.

“Ia berperanan untuk mengurangkan kesan buruk yang boleh ditimbulkan oleh berita palsu,” katanya.

Pelancaran ini juga memperkukuhkan peranan portal Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama menyemak dan mengesahkan maklumat dengan cepat, mempercepatkan respons terhadap berita palsu, serta memperkukuh peranan portal dalam menangani penyebaran maklumat yang tidak sahih di Malaysia.

AIFA dibangunkan dengan menggunakan teknologi canggih seperti algoritma dan pembelajaran mesin, yang membolehkan ia memadankan maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai dan memberikan jawapan yang tepat dengan pantas kepada pengguna.

Fungsi ini boleh diakses 24 jam sehari menerusi portal Sebenarnya.my dan aplikasi WhatsApp.

Fahmi berkata, pada masa ini AIFA hanya menerima input dalam bentuk teks, namun ciri ini dijangka akan diperluaskan kepada format lain, termasuk video, dalam masa akan datang.

Beliau juga mengingatkan bahawa sepanjang tahun 2023 hingga Januari 2024, MCMC telah memohon untuk memadamkan sebanyak 1,575 kandungan berita palsu, dengan lebih 1,200 daripadanya sudah berjaya dikeluarkan dari platform-platform media sosial.

“Pelancaran AIFA ini adalah langkah penting dalam memastikan rakyat Malaysia terus berwaspada terhadap berita palsu dan sentiasa memeriksa kesahihan setiap maklumat yang diterima,” katanya lagi.

Dengan inisiatif ini, MCMC berharap dapat mempertingkatkan kesedaran rakyat untuk sentiasa menyemak kebenaran maklumat yang tersebar dalam talian, serta mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap sumber maklumat yang sahih.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular