28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Selepas 12 tahun filem Madha Gaja Raja kembali menyengat, kini di pawagam Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah lebih satu dekad, filem Tamil yang dinantikan, Madha Gaja Raja, akhirnya menemui penonton di Malaysia.

Dihasilkan oleh produksi Gemini Film Circuit, filem ini mula mencatatkan kejayaan besar di pawagam India sejak 12 Januari lalu dan kini ia bersedia untuk menghiburkan penonton tempatan.

Filem ini sudahpun menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia dan Singapura sejak 16 Januari 2025 yang lalu.

Kerjasama antara MSK Cinemas dan Gemini Film Circuit telah memastikan tayangan filem ini menjadi kenyataan selepas bertahun-tahun dalam pembangunan.

Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, Madha Gaja Raja terus menarik perhatian penonton walaupun telah mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan.

“Filem ini menggabungkan elemen komedi yang membuatkan penonton ketawa dari awal hingga akhir.

“Walaupun penggambaran sudah lama selesai, ia tetap terasa segar,” katanya penuh yakin.

Sementara itu, produser Gemini Film Circuit, Radhakrishnan berkata, kejayaan filem ini diterbitkan selepas pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang pembikinannya adalah suatu pencapaian yang amat membanggakan.

“Pembikinan filem ini terpaksa mengharungi banyak halangan daripada segi perubahan jadual pelakon, serta beberapa isu teknikal lain.

“Walau bagaimanapun, kami tetap berjaya menyiapkannya dan kini ia boleh dinikmati oleh penonton,” katanya.

Radhakrishnan berkata, mereka memilih untuk menayangkan Madha Gaja Raja ketika musim perayaan Pongal, yang juga waktu sesuai untuk filem komedi ringan untuk seisi keluarga.

Pengarah dan penulis skrip, Sundar C, yang juga turut terbabit dalam pembikinan filem ini, mengakui jalan cerita filem ini bertujuan untuk mencipta hiburan yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak.

Kejayaan filem ini di India, di mana ia menduduki tempat pertama dalam senarai filem pecah panggung, menjadi petanda baik bagi tayangannya di luar negara termasuk di Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura, Sri Lanka, dan beberapa negara Timur Tengah seperti UAE, Oman, Qatar, serta Mauritius.

“Selain daripada sambutan yang hebat di India, kami juga menerima banyak komen positif dari penonton di luar negara, terutamanya mengenai keseronokan dan nilai hiburan keluarga yang disampaikan dalam filem ini,” kata Radhakrishnan lagi.

Menariknya, filem ini juga disediakan dengan sari kata Bahasa Malaysia, menjadikannya lebih mudah diakses dan dinikmati oleh penonton Melayu di Malaysia.

Madha Gaja Raja mengisahkan sekumpulan rakan lama yang bertemu semula di sebuah majlis perkahwinan, dan tanpa diduga, peristiwa dramatik yang berlaku memaksa mereka bersatu untuk menyelesaikan masalah bersama.

Selain menguji kekuatan persahabatan mereka, filem ini juga memaparkan perjalanan emosi setiap individu untuk mengatasi cabaran peribadi.

Filem aksi komedi ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Vishal, Anjali, Varalaxmi Sarathkumar, Santhanam, Sonu Sood, dan ramai lagi.

Karya ini adalah gabungan aksi pantas dan jenaka segar yang pastinya akan mencuit hati penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Madha Gaja Raja yang bakal menghiasi pawagam Malaysia mulai 16 Januari 2025.

Untuk mengikuti perkembangan filem ini, anda boleh melayari media sosial MSK Cinemas di Facebook, Instagram, Twitter, dan TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular