27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026

Ladang solar UK tunjukkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

LONDON – Kejayaan operasi Ladang Solar Eastfield dan Bunkers Hill yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di United Kingdom, dengan kapasiti penghasilan tenaga sebanyak 102 megawatt (MW), menunjukkan kepakaran Malaysia dalam memimpin penyelesaian tenaga lestari di peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bangga terhadap pencapaian TNB yang bukan sahaja memiliki dan mengendalikan, tetapi juga membangunkan aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh UK dan Ireland.

“Syabas dan terima kasih kepada TNB atas kejayaan ini,” katanya.

Berucap pada majlis pelancaran ladang solar berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menekankan pentingnya kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN dalam memajukan teknologi tenaga baharu, yang dapat mempercepatkan peralihan tenaga di rantau ini.

“Usaha yang dijalankan, termasuk di UK, akan memberi manfaat yang besar, didorong oleh kajian dan inovasi TNB serta kerjasama dari pemain industri dan profesional yang berdaya saing.

“Semua ini bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE),” katanya dalam hantaran di media sosial.

Anwar percaya impak positif daripada inisiatif seperti ini akan memberikan kesan yang besar kepada ekonomi negara dalam jangka panjang, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama dalam industri peralihan tenaga global.

Dalam hantaran berasingan, Anwar turut memaklumkan lawatan kerja beliau ke UK diteruskan dengan pertemuan bersama beberapa pemimpin industri dan syarikat utama di negara terbabit.

Antara syarikat yang turut serta dalam pertemuan itu adalah Standard Chartered PLC, Jaguar Land Rover Automotive PLC, Raw Energy, dan Yondr – platform kritikal yang berperanan dalam memperbaharui serta meneroka peluang perniagaan, pelaburan, dan perdagangan di Malaysia.

“Moga pertemuan ini dapat memberikan impak positif kepada prestasi ekonomi negara, membawa kita ke tahap yang lebih baik, Insya-Allah,” katanya.

Selain itu, Anwar bersama delegasi beliau, yang turut dihadiri oleh Tengku Datuk Seri Zafrul dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berpeluang mengunjungi Battersea Power Station yang dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia, termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Anwar berkata, kehadiran infrastruktur yang lengkap di kawasan berkenaan mampu menarik pelaburan yang lebih besar dan mengembangkan pulangan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pada masa depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular