25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

Kerajaan tambah peruntukan pembangunan bola sepak kepada RM30 juta – Anwar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk terus memperkukuhkan pembangunan bola sepak di Malaysia, kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan peruntukan bagi sukan bola sepak daripada RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 kepada RM30 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, RM15 juta akan dibiayai oleh pihak swasta.

Peruntukan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam kejohanan antarabangsa, selain meningkatkan program pembangunan yang sedia ada.

“Selain itu, ia juga akan membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memperbaiki pengurusan organisasi, yang memerlukan pembaharuan total di semua aspek,” katanya.

Anwar berkata, fokus utama kerajaan adalah untuk memberi sokongan yang lebih kuat kepada pemain kebangsaan melalui pengurusan yang profesional serta barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang berkelayakan.

Usaha ini juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pemain pelapis bagi pasukan Harimau Malaya, terutama dalam skuad bawah-23, supaya pasukan utama sentiasa diisi dengan pemain berpengalaman.

“Selain daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dan FAM, saya juga berharap agar Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, akan terus memberikan sokongan berdasarkan pencapaian, pengalaman, serta rangkaian luas Baginda dalam industri bola sepak,” katanya.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa pengetahuan mendalam Pemangku Sultan Johor mengenai pengurusan bola sepak dan hubungan dengan figura sukan serta kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang amat berharga dalam usaha untuk memperkasa Harimau Malaya.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya serta barisan pengurusan, untuk mengangkat nama negara ke peringkat tertinggi dan setanding dengan nama besar dalam arena bola sepak antarabangsa,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular