25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026

Lelaki Jepun popular selepas jadikan hutan sebagai tandas semulajadi

editormaxinfo@gmail.com

TOKYO – Seorang lelaki Jepun, Masana Izawa, kini terkenal di seluruh negara selepas lebih 50 tahun mengamalkan rutin unik iaitu membuang air besar di dalam hutan, dengan cara yang sama seperti beruang.

Lelaki berusia 74 tahun ini berkata, aktivitinya itu bertujuan untuk “mengembalikan” najis kepada alam semula jadi, membolehkan mikroorganisma dalam tanah menguraikannya.

“Dengan cara ini, kita memberi kehidupan semula kepada alam. Apa lagi yang lebih mulia daripada itu?” kata Masana kepada AFP.

Masana yang digelar sebagai Fundo-shi atau “Tuan Najis” di kalangan orang ramai, kini menjadi selebriti di Jepun.

Beliau turut menerbitkan buku, memberikan syarahan, dan muncul dalam beberapa dokumentari.

Aktiviti yang beliau amalkan ini turut menarik perhatian ramai, dengan orang ramai datang berkunjung ke kawasan hutan miliknya di Sakuragawa, utara Tokyo.

Kadang-kadang, sehingga puluhan orang akan hadir dalam sebulan untuk mempelajari cara melakukan aktiviti ini.

Kawasan hutan seluas 7,000 meter persegi milik Masana (kira-kira sebesar padang bola sepak) ini menjadi tempat pelawat belajar dan mengikuti petua untuk melaksanakan aktiviti berkenaan dengan cara yang betul.

Dalam bahasa Jepun, amalan ini dikenali sebagai “Noguso,” yang memerlukan mereka menggali lubang, menggunakan daun untuk mengelap, membawa air untuk membersihkan diri, dan ranting untuk menandakan tempat yang digunakan.

Ranting itu bertujuan memastikan beliau tidak menggunakan tempat yang sama dua kali dan untuk mencatatkan proses penguraian najis terbabit.

Masana yang sebelum ini bekerja sebagai jurugambar alam semula jadi dan pakar cendawan, mula mengamalkan tabiat ini sejak usia 20 tahun.

Ia bermula apabila beliau menyaksikan protes terhadap pembinaan loji kumbahan.

“Kami semua mengeluarkan najis, tetapi penunjuk perasaan mahu loji rawatan itu berada di tempat yang jauh dan tidak kelihatan.

“Meninggalkan tanah untuk menguruskannya adalah pilihan yang lebih baik untuk alam sekitar,” katanya.

Masana percaya bahawa membuang air besar di kawasan terbuka adalah jawapan kepada masalah ini, kerana tandas, kertas tandas, dan kemudahan pengurusan air sisa memerlukan penggunaan air, tenaga, dan bahan kimia yang banyak.

Walaupun di Jepun, membuang air besar di luar adalah dilarang, Masana boleh berbuat demikian kerana memiliki kawasan hutan di sekitar rumahnya. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular