28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 1, 2025

Kecewa dengan pengurusan dan caj penyelenggaraan yang dikenakan, penduduk Pangsapuri Begonia lapor polis

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penduduk Pangsapuri Begonia di Kajang, Selangor, kini berdepan dengan ketidakpuasan hati dan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan perumahan selepas didakwa mengenakan caj penyelenggaraan yang tinggi serta gagal menyediakan kemudahan yang dijanjikan.

Tindakan ini telah mencetuskan kemarahan penduduk, yang kini menuntut agar tindakan segera diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

Menurut laporan yang dibuat oleh wakil penduduk, mereka mendakwa bahawa pihak pengurusan tidak menyediakan pondok keselamatan, kad akses untuk tangga, serta perkhidmatan pembersihan yang sepatutnya disediakan oleh pemaju.

Sebaliknya, pihak pengurusan kini mengenakan caj penyelenggaraan bulanan sebanyak RM150 kepada setiap penduduk, dan sehingga kini, jumlah wang yang dikutip telah mencecah RM1,742 sejak 31 Disember 2024.

Penduduk juga berpendapat bahawa pemaju sepatutnya menyelesaikan segala kekurangan dan menyerahkan pengurusan kepada pihak pengurusan hanya selepas bangunan selesai sepenuhnya.

Namun, selepas pihak pengurusan mengambil alih, mereka dilaporkan meminta bayaran tambahan daripada penduduk tanpa memberikan perkhidmatan yang dijanjikan, seperti kad akses keselamatan dan sistem lif yang tidak berfungsi dengan baik.

Dalam satu insiden terbaru, seorang wakil penduduk, Francis Xavier, turut membuat laporan polis berikutan menerima mesej WhatsApp berbaur ugutan daripada individu yang tidak dikenali.

Pintu utama naik ke pangsapuri yang berjeriji besi boleh menimbulkan masalah jika berlaku kebakaran.

Francis berkata, mesej terbabit mengugutnya kerana dianggap “mengganggu” dengan membincangkan masalah kebersihan dan pengurusan di dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh pihak pengurusan.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh Francis, beliau menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan Pangsapuri Begonia yang didakwa tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan gagal menyediakan kemudahan yang dijanjikan kepada penduduk.

Pengawal warga asing yang tidak memakai uniform.

Beliau juga mendakwa pihak pengurusan cuba menakut-nakutkan penduduk dengan ancaman tindakan undang-undang sekiranya tidak membayar caj penyelenggaraan yang dikenakan.

Seksyen 21(1) dan Seksyen 25(1) dalam Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA 2013) menetapkan bahawa pengurusan wajib mengutip yuran penyelenggaraan dan sekiranya gagal membayar, penduduk boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Namun, penduduk mendesak agar pihak pengurusan bertanggungjawab atas kegagalan mereka dalam menyediakan kemudahan yang dijanjikan, dan tindakan segera perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

Sehingga kini, penduduk menuntut agar Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan untuk membentuk pengurusan baru yang lebih telus dan bertanggungjawab.

Mereka juga bercadang untuk merujuk isu ini kepada kementerian perumahan dan pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian yang adil.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular