editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sunway REIT Management Sdn Bhd, pengurus bagi Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), telah berjaya menyelesaikan pembelian Sunway Kluang Mall (dahulunya dikenali sebagai Kluang Mall) pada 30 Disember 2024.
Terletak di tengah-tengah Johor, Sunway Kluang Mall menjadi pusat strategik yang menghubungkan bandar-bandar utama seperti Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat.
Lokasinya yang ideal memberikan akses mudah ke pelbagai kawasan di Semenanjung Malaysia melalui lebuh raya utama dan landasan kereta api, menjadikannya destinasi pilihan untuk pengunjung dari seluruh rantau ini.
Dengan populasi melebihi 320,000 penduduk dan potensi tambahan sekitar satu juta orang di Johor tengah, daerah Kluang kini dikenali sebagai pusat utama untuk perniagaan runcit dan gaya hidup.
Selain itu, Sunway Kluang Mall juga mencatatkan kadar penghunian yang mengagumkan, iaitu 99 peratus, dengan lebih 130 penyewa yang terdiri daripada jenama antarabangsa dan tempatan, kedai makanan dan minuman (F&B), serta pelbagai pilihan hiburan.
Pusat beli-belah ini semakin menarik dengan kehadiran Pacific Hypermarket & Department Store yang dilengkapi dengan perkhidmatan kesihatan dan kecantikan, panggung wayang, serta pusat boling yang menjanjikan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Clement Chen berkata, pembelian ini dijangka memberi pulangan yang menguntungkan kepada portfolio Sunway REIT dengan anggaran hasil pendapatan harta bersih (NPI) awal sebanyak tujuh peratus.
Beliau turut menekankan bahawa langkah ini akan mengukuhkan kedudukan Sunway REIT sebagai salah satu amanah pelaburan hartanah terkemuka di Malaysia.
“Kami dengan strategik telah memperluaskan kehadiran kami di Johor, yang juga negeri dengan potensi pelaburan tinggi.
“Dengan jenama kuat Sunway dan rekod cemerlang dalam pengurusan runcit, kami yakin dapat meningkatkan lagi pusat beli-belah ini melalui penyewaan yang lebih optimum, pengurusan proaktif dan inisiatif peningkatan aset (AEI) untuk mencapai pertumbuhan yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan pengambilalihan ini, Sunway REIT kini memiliki portfolio yang lebih kukuh dengan 28 hartanah, termasuk 13 hartanah runcit, yang mana beberapa daripadanya sedang dalam proses pembangunan semula menjadi destinasi pelancongan berpusatkan runcit.
Selain itu, portfolio Sunway REIT juga meliputi enam hotel, lima pejabat, satu hartanah pendidikan dan tiga hartanah industri, dengan nilai keseluruhan mencecah RM10.3 bilion.

