32.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Ribuan ahli MIC akan hadir perhimpunan solidariti untuk Najib

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – MIC akan turut serta dalam perhimpunan solidariti bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 6 Januari ini, dengan ribuan ahli parti dijangka hadir memberikan sokongan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, mengesahkan perkara terbabit dan menyatakan bahawa kehadiran wakil MIC adalah sebagai penghormatan kepada Najib, seorang pemimpin yang disifatkan banyak berjasa kepada masyarakat dan negara.

“Perhimpunan ini bukan berunsur politik, tetapi ia adalah satu penghormatan kepada pemimpin yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara.

“Selain MIC, ribuan ahli dari pelbagai parti politik dan NGO juga dijangka turut hadir,” kata Saravanan dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, sebuah memo yang tular mengesahkan bahawa Pas akan mengadakan perhimpunan yang dinamakan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari depan.

Himpunan itu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, pada jam 9 pagi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut menggalakkan ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan terbabit.

Himpunan solidariti ini juga mendapat perhatian daripada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang memberi amaran kepada UMNO bahawa sebarang program bersama pembangkang, khususnya Pas, boleh menimbulkan keraguan terhadap kestabilan politik dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Perhimpunan ini diadakan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang akan mendengar rayuan Najib berhubung Titah Adendum pada 6 Januari.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular