editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Autonomous Nonprofit Organization “TV-Novosti”, yang mengendalikan Russia Today TV (RTTV) Channel, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang maklumat dan penyiaran antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.
Majlis pertukaran rasmi dokumen itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, dan Timbalan Pengarah Eksekutif bagi Kerjasama Antarabangsa dan Pengedaran RTTV, Ms. Karina Melikyan.
MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan diplomatik dan media antara kedua-dua negara, sekali gus memperkukuh usaha ke arah perkongsian maklumat yang seimbang, peningkatan mutu kewartawanan, serta penghormatan bersama dalam bidang penyiaran global.
Melalui memorandum ini, RTM dan RT Channel bersepakat untuk memperluas kerjasama dalam pertukaran berita dan maklumat, penerbitan bersama program, perkongsian kandungan, serta latihan profesional bagi warga kerja penyiaran kedua-dua organisasi.
Selain itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang baharu dalam pembangunan kandungan digital dan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), termasuk perkongsian kepakaran teknikal serta amalan terbaik dalam teknologi penyiaran moden.

Langkah ini dijangka akan membuka ruang luas untuk kolaborasi strategik yang lebih mendalam, sekali gus memperkukuh keupayaan kedua-dua organisasi dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berkualiti dan relevan kepada khalayak antarabangsa.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama antara Malaysia dan Persekutuan Rusia dalam memupuk pemahaman bersama dan pertukaran budaya melalui media.
Ia juga selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina landskap media yang lebih dinamik, saling berhubung dan berinformasi, sejajar dengan arus globalisasi digital masa kini.
RTM dan RT Channel turut menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama strategik ini akan menyumbang kepada pengukuhan hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Rusia, bukan sahaja dalam bidang penyiaran tetapi juga dalam memperkaya komunikasi antarabangsa dan kebudayaan global.
Penandatanganan MoU ini menggariskan hasrat kedua-dua organisasi penyiaran untuk terus memajukan kerjasama media yang profesional, beretika dan berimpak tinggi, selaras dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi dunia.
Dengan pembabitan RTM sebagai stesen penyiaran nasional Malaysia dan RT Channel sebagai salah satu saluran antarabangsa utama Rusia, inisiatif ini diharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang pertukaran kandungan yang mencerminkan kepelbagaian budaya, nilai kemanusiaan dan pandangan global yang seimbang.

