editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pulau Perhentian di Terengganu kini muncul sebagai destinasi baharu yang paling pesat menarik perhatian pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia, menurut platform pelancongan digital terkenal, Agoda.
Dalam senarai ‘Horizon Baharu’ tahunan yang diterbitkan oleh Agoda, Pulau Perhentian berjaya mencatatkan lonjakan populariti tertinggi, mencerminkan peningkatan daya tarikan pulau terbabit yang terkenal dengan pantai yang memukau.
Pulau ini juga kini tersenarai sebagai antara destinasi yang mencatatkan purata tempoh penginapan paling panjang dalam kalangan pelancong yang mencari percutian ‘slow travel’.
Agoda dalam satu kenyataan berkata, kemunculan Pulau Perhentian sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa ini menunjukkan betapa pesatnya industri pelancongan pantai di Malaysia.
“Pulau ini menduduki tempat ketiga dalam senarai destinasi paling popular untuk ‘slow travel’ di Asia oleh Agoda pada awal tahun ini, dan telah menjadi tumpuan bagi pencinta pantai serta penyelam.
“Laut biru yang kaya dengan ekosistem marin dan usaha pemuliharaan terumbu karang semakin menambah daya tarikannya,” katanya.
Selain itu, penambahbaikan dalam kemudahan pengangkutan, termasuk penerbangan pesawat laut peribadi, menjadikan Pulau Perhentian lebih mudah diakses, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong yang berkunjung.
Untuk pelancong domestik, Shah Alam, Selangor muncul sebagai destinasi yang tidak dijangka, mencatatkan lonjakan populariti tertinggi.
Walaupun sering dianggap sebagai kawasan perumahan dan perindustrian, Shah Alam menawarkan pelbagai pilihan destinasi mesra keluarga, termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Taman Botani Negara, dan kafe-kafe menarik yang menjadi tumpuan pengunjung hujung minggu.
Lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur menjadikannya pilihan menarik bagi pelancong yang mencari percutian singkat.
Bagi warga Malaysia yang melancong ke luar negara, Pulau Batam di Indonesia muncul sebagai destinasi popular.
Pulau ini terkenal dengan kos perbelanjaan yang rendah, kemudahan pengangkutan feri yang mudah, serta pelbagai aktiviti rekreasi seperti sukan air, golf, go-kart, dan aktiviti pantai.
Tambahan lagi, Batam juga menawarkan pusat membeli-belah bebas cukai serta hidangan makanan tempatan yang lazat.
Fabian Teja, Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei Fabian Teja berkata, mereka amat teruja dengan peningkatan minat pelancong antarabangsa terhadap Pulau Perhentian, yang mencerminkan kejayaan usaha untuk memperkenalkan pelbagai tarikan di Malaysia.
“Selain itu, populariti Shah Alam di kalangan pelancong domestik menunjukkan perubahan trend dalam pilihan destinasi percutian rakyat Malaysia yang kini lebih berminat meneroka destinasi tersembunyi di sekitar bandar,” katanya.
Sebagai tambahan, Agoda turut melaporkan bahawa Shanghai, China, mengungguli senarai Horizon Baharu sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong Asia, diikuti oleh Jeju (Korea Selatan), Paris (Perancis), Nha Trang (Vietnam), dan Fukuoka (Jepun).
Agoda terus komited untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan menyeronokkan, dengan tawaran menarik untuk penginapan, penerbangan, dan aktiviti.