editormaxinfo@gmail.com
IPOH – Seorang wanita berusia sekitar 40-an ditahan oleh polis selepas tular video yang menunjukkan dirinya membakar motosikal di Jalan Masjid Pokok Assam, Taiping.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 malam pada Khamis itu mencuri perhatian ramai apabila wanita terbabit didakwa bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan tindakan penarik kenderaan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dibakar itu adalah jenis Honda RSX berwarna hitam.
Motosikal terbabit ditarik oleh pihak penarik kenderaan kerana pemiliknya gagal membuat pembayaran ansuran selama 20 bulan.
“Tindakan penarik kenderaan itu menimbulkan rasa marah kepada wanita berkenaan.
“Dia dikatakan telah menyimbah petrol ke atas motosikal sebelum membakarnya,” kata Mohamad Nasir dalam satu kenyataan.
Video berdurasi 1 minit 42 saat yang tular di media sosial memperlihatkan wanita berkenaan dengan sengaja menyimbah petrol ke atas motosikalnya, sebelum melemparkan kertas yang telah dibakar ke arah motosikal, menyebabkan kenderaan itu terbakar.
Seorang lelaki, dipercayai penarik kenderaan yang merakam video terbabit, menyatakan bahawa pemilik motosikal itu sudah gagal membayar tunggakan selama hampir dua tahun.
“Kami tarik motosikal ini dari JCL. Sudah 20 bulan tertunggak, pemilik motosikal itu menyimbah minyak dan membakarnya,” katanya.
Wanita berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun atau didenda.

