29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, July 11, 2025

Lembaga Tabung Haji larang pengelola jemaah haji promosi visa mujamalah dan furada

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa pengelola jemaah haji (PJH) yang dilesenkan di bawahnya tidak dibenarkan untuk mempromosikan pakej visa mujamalah atau furada.

Keputusan ini diambil berikutan ketidakpastian jumlah kuota dan kriteria pemberian visa terbabit yang hanya dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi pada saat-saat akhir, seperti pada penghujung bulan Syawal atau Zulkaedah.

Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun, berkata visa mujamalah dan furada tidak mempunyai ketentuan kuota yang jelas.

Pihak berkuasa Arab Saudi hanya mengeluarkan 31,600 visa untuk jemaah haji Malaysia secara rasmi, manakala visa mujamalah dan furada tidak diketahui jumlahnya dan siapa yang akan mendapatkannya.

“Visa mujamalah dan furada tiada kepastian mengenai kuota atau siapa yang layak mendapatkannya.

“Oleh itu, pengelola jemaah haji tidak dibenarkan untuk mempromosikan pakej visa ini kerana ia tidak mempunyai ketetapan yang jelas,” katanya pada sidang akhbar pra-pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan (KHUP) di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Hisham berkata, perkara ini telah ditekankan kepada semua PJH melalui syarat-syarat yang ditetapkan dalam permohonan lesen operasi mereka.

“Apabila diberikan lesen, PJH perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, termasuk tidak mempromosikan visa di luar kuota yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi. Ini adalah tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terjebak dalam penipuan yang membabitkan pakej visa yang tidak sah.

Bagi bakal jemaah haji yang berminat untuk menunaikan haji melalui visa mujamalah, beliau menggalakkan mereka untuk menggunakan saluran yang sah iaitu melalui PJH yang berlesen dengan TH.

“Ini adalah saluran terbaik untuk memastikan kebajikan jemaah terjamin semasa berada di tanah suci nanti.

“Kami juga ingin menegaskan agar PJH tidak membuat promosi visa mujamalah, kerana ia sering disalahgunakan dan menyebabkan jemaah terkandas di lapangan terbang atau di luar negara. Ini tentu sahaja akan menyusahkan ramai pihak,” katanya lagi.

Untuk melindungi bakal jemaah haji daripada sebarang penipuan, Mohd Hisham meminta orang ramai untuk segera membuat aduan sekiranya mengetahui sebarang aktiviti yang melanggar peraturan.

“Jika ada maklumat mengenai aktiviti yang meragukan, orang ramai boleh membuat aduan dan TH akan mengambil tindakan berdasarkan Akta TH. Pelaku boleh dikenakan denda atau dipenjarakan,” katanya.

Beliau berkata, dengan langkah ini, TH berharap supaya bakal jemaah haji dapat menunaikan ibadah haji dengan selamat dan terjamin, tanpa sebarang gangguan atau penipuan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular