editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Peminat muzik tanah air bakal dihiburkan dengan satu malam penuh nostalgia menerusi Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1, yang bakal diadakan pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini akan menampilkan sembilan penyanyi hebat yang telah lama mencorak industri muzik Malaysia, membawa peminat mengimbau kembali zaman kegemilangan muzik tempatan.
Antara nama-nama besar yang bakal menggegarkan pentas adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi.
Konsert ini juga adalah penghormatan kepada tiga dekad dan tiga era yang telah membentuk landskap muzik Malaysia, dengan menampilkan gabungan artis-artis lagenda dari pelbagai genre seperti pop, rock, dan balada.
Dengan tema ‘Back to the 80’s & 90’s’, konsert ini dijangka memberikan pengalaman yang penuh dengan kenangan bagi peminat muzik tempatan.
Persembahan ini akan menyaksikan kolaborasi istimewa yang jarang berlaku, di mana penyanyi-penyanyi dari generasi berbeza bergabung di atas satu pentas, memberikan pengalaman yang luar biasa dan penuh magis.
Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 turut mempersembahkan 22 lagu yang pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu dan memenangi acara berprestij itu, memastikan peminat akan disajikan dengan muzik berkualiti tinggi.
Selain itu, satu kemunculan istimewa daripada Kid Search, pemain gitar asal kumpulan Gersang, yang akan mempersembahkan lagu “Masih Aku Terasa”, menambah keistimewaan dalam konsert ini.

Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, Afiezan Shah Mohd Zahari berkata, konsert ini bertujuan untuk meraikan artis-artis lagenda sambil mengimbau kembali kegemilangan industri muzik Malaysia.
“Konsert ini bukan sekadar untuk menghargai artis-artis hebat, tetapi juga untuk mengingatkan kita semua tentang impak besar yang telah mereka tinggalkan dalam dunia muzik,” katanya.
Afiezan turut berharap konsert ini akan memberikan pengalaman yang tak terlupakan kepada penonton, di mana lagu-lagu hits daripada setiap artis tersohor akan diperdengarkan.
“Kami mahu peminat merasai kenangan manis melalui muzik yang mengangkat budaya seni dan masyarakat kita. Kami harap konsert ini akan menjadi satu perayaan yang penuh meriah,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pengalaman yang lebih seronok, penonton diundang untuk mengenakan dress code retro, membawa kembali suasana 80-an dan 90-an dalam mengenang era kegemilangan muzik Malaysia.
Konsert ini turut mendapat sokongan daripada Sinar FM, Gegar FM, dan Zayan FM selaku radio rasmi, serta pengarah muzik Shah Slam yang akan mengendalikan muzik sepanjang acara.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini sudah pun mula dijual sejak 29 September dan boleh didapati melalui www.myticketempire.com. Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, peminat boleh melayari Instagram rasmi MEGAHITZ di @pentas365.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan satu malam penuh magis dan bersejarah bersama MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 – satu konsert yang pasti meninggalkan kenangan abadi dalam hati peminat muzik Malaysia.