editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Lebih 40 tahun bergelar penghibur, penyanyi Datuk Jamal Abdillah tidak pernah serik dan akan terus beraksi di atas panggung meskipun sudah menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil.
Malah, setiap pengalaman yang diperoleh melalui semua persembahannya sentiasa diambil lalu disatukan untuk sebuah lagi pertunjukan yang penuh bertenaga dan semakin matang.
Bukanlah satu ‘dosa’ apabila penghibur berusia 65 tahun itu bakal muncul dengan Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura.
Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura dijadualkan akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025 anjuran bersama oleh Live Injection dan NJ Resources.
Ia akan menjadi konsert solo perdana Jamal Abdillah pada tahun 2025 sekaligus membuktikan kewujudannya dalam belantika muzik masih relevan dan sentiasa dilihat mampu menawan hati peminat.
Membawa nama yang cukup ikonik di bawah ‘bendera’ konsert kali ini iaitu judul lagu hit beliau, Sandarkan Pada Kenangan dan Azura, penganjur percaya dengan magnet penyanyi bersuara emas yang dimiliki Jamal Abdillah akan membuat ruang Zepp Kuala Lumpur penuh.

Mewakili Live Injection, Edy J berkata, sebagai penganjur Live Injection dan NJ Resources sentiasa melihat kualiti dan jenama seorang penghibur bersuara emas iaitu Datuk Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi beliau berada dalam industri seni tempatan.
“Kami percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hit yang telah dirakamkan Jamal Abdillah sejak awal pembabitan sehingga kini, penganjuran Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat.
“Ini adalah pertama kali Jamal Abdillah beraksi di panggung Zepp Kuala Lumpur secara solo dan suasana yang lebih intim ini akan mencipta momen tersendiri buat penghibur kesayangan ramai ini dan peminatnya,” katanya.
Bagi Jamal pula, meskipun sudah ribuan kali membuat persembahan, bukan bermaksud beliau boleh sambil lewa dan berasa tanggungjawab yang diberikan penganjur sesuatu yang ‘ringan’ hanya kerana telah memiliki segudang pengalaman.

Sebaliknya, setiap kali dilamar terbabit dalam persembahan apa lagi berskala besar seperti Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, beliau akan sentiasa ‘melakukan kerja sekolah’ demi memberikan persembahan yang terbaik.
Perasaan berdebar akan selalu hadir namun ia ‘dibunuh’ dengan keterujaan yang besar buat Jamal Abdillah menyambut kehadiran peminat yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan kariernya sejak berabad lama.
Berbekalkan lagu-lagu nostalgia yang cukup pekat di ingatan dan ‘sing along’ seperti Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Kekasih Awal Dan Akhir, Sepi Seorang Perindu serta Di Sudut Kamar Hatiku, Jamal Abdillah tidak memerlukan lebih banyak bukti untuk dijadikan daya penarik ke konsertnya itu nanti.

“Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura akan menjadi siri persembahan skala besar dari saya sekali lagi sebagai penghibur namun peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu.
“Harapan saya peminat yang tahu mengenai penganjuran Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari depan akan datang beramai-ramai ke konsert ini.
“Kenapa perlu hadir? Kerana ia akan menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi lalu dinikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti,” katanya.
Lebih istimewa, pada malam konsert itu nanti peminat dan penonton dialu-alukan untuk hadir dengan pakaian bertemakan era 80-an.
Diharapkan tema itu nanti akan mengembalikan semula memori zaman 80-an. Jamal Abdillah juga bakal memberikan kelainan dan keunikan pada malam konsert itu nanti.
Tiket dijual pada harga bermula RM 360 (CAT 04), RM 380 (CAT 03), RM 340 (CAT 2), RM395 (CAT 1), RM7,500 (VIP BOX- 8 orang).
Pembelian tiket boleh dibuat melalui atas talian menerusi TICKET2U.COM dan untuk maklumat lanjut, layari www.live-injection.com atau email hello@live-injection.com.