26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Isu kibar bendera China: King Sing bimbang beri kesan sektor pelancongan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pihak yang memberikan reaksi berlebihan berhubung kontroversi video perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, Perak, dibimbangi memberi kesan kepada sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan nilai kesederhanaan tetapi turut berisiko menimbulkan tanggapan Malaysia tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong asing menyertai acara kebudayaan tempatan.

“Insiden mengibarkan bendera negara China sememangnya menarik perhatian dan individu tertentu nampaknya telah mengambil kesempatan daripadanya, membesar-besarkan perkara itu dan mengeruhkan keadaan.

“Sambutan Guan Gong Sedunia adalah acara kebudayaan antarabangsa yang menjemput peserta dari beberapa negara seperti Vietnam, Thailand, dan China, untuk menyertai perarakan berkenaan.

“Peserta dari negara China mungkin telah mengibarkan bendera negara mereka sebagai tanda sokongan dan semangat meraikan perayaan itu bersama orang lain daripada pelbagai latar belakang, terutamanya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China,” katanya dalam satu kenyataan.

King Sing berkata, pihaknya meminta supaya siasatan polis terhadap 17 warga China yang terbabit dalam perarakan berkenaan disiasat secara adil dan telus.

“Ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan kebimbangan mereka bahawa rakyat pelbagai etnik di Malaysia telah lama diberi kebebasan untuk mengadakan acara dan perayaan kebudayaan.

“Sebelum ini, bendera-bendera negara lain telah dikibarkan dengan jelas di acara-acara yang dianjurkan di negara ini tanpa menimbulkan kritikan yang begitu keras.

“Ia menimbulkan persoalan mengapa, dalam hal ini, pengkritik bertindak pilih bulu atau double standard?,” soalnya

Katanya, semua pihak juga digesa tidak memanjangkan isu berkenaan secara berlebihan sehingga menimbulkan keresahan yang tidak diperlukan.

“Jika kita berterusan mengeruhkan keadaan, ia akhirnya akan menghalang pelancong daripada melawat Malaysia sehingga merugikan kita sendiri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular