editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kekal pendirian memboikot KK Super Mart, Pemuda UMNO meminta orang ramai memeriksa adakah pengurusan kedai serbaneka itu sudah menaikkan kenyataan permohonan maaf seperti yang dituntut mereka dua hari lalu.
Hari kedua selepas kempen boikot dilancarkan, pergerakan itu turut mendesak pengurusan KK Super Mart memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya juga meminta orang ramai berkongsi maklumat jika ada kedai serbaneka KK Super Mart yang sudah melaksanakan permintaan menggantung kain rentang permohonan maaf itu.
“Hari ini adalah hari kedua sejak dari desakan kita untuk KK Mart meminta maaf di setiap cawangan mereka di dalam Malaysia.
“Saya mohon anda semua cuba ‘check’ KK Super Mart di kawasan anda ada tak menaikkan kenyataan mohon maaf di kedai mereka? Cuba kongsi di sini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial miliknya.
Kelmarin, Dr Muhammad Akmal memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’.
Pemuda UMNO juga memberi amaran akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan itu.
Dalam hantaran yang sama, Dr Muhammad Akmal turut membidas tindakan individu yang cuba menjadi ‘hero’ mempertahankan isu itu dengan meminta jangan memperbesarkannya.
“Sangat memalukan sebab tunduk pada taukeh besar!!!,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan sehingga semalam sekurang-kurangnya 13 laporan dibuat di seluruh negara berhubung kes kalimah Allah pada stokin yang dijual di rangkaian kedai KK Super Mart.
“Kalau sebelum ini polis tidak boleh melakukan siasatan kerana tiada laporan polis, sehingga semalam sekurang-kurangnya 13 laporan telah dibuat di setiap negeri.
“Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah hasil siasatan dari laporan ini. Kami minta agar ia disiasat di bawah seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan diberikan hukuman yang sekeras-kerasnya agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin bermain dengan isu 3R ini,” katanya.