26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Guzzbuzz Productions tidak gentar pertaruh artis baru dari Singapura

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nama Guzzbuzz Productions mungkin tidak sehebat dan setanding syarikat rakaman popular yang ada kini, namun ia bukan halangan untuk pemiliknya mengetengahkan bakat-bakat baru sebagai artis naungan.

Punya alasan tersendiri, Bobb Ghazali berkata, sebagai orang yang banyak berada di belakang tabir, menjadi tanggungjawab untuknya membantu menaikkan bakat-bakat baru.

“Saya yakin dengan bakat setiap mereka yang terbabit dalam bidang seni, niat saya mahu membantu menaikkan mereka kerana yakin dengan kelebihan yang dimiliki masing-masing.

“Mungkin tidak mudah tetapi itulah perjalanan yang harus dilalui oleh setiap mereka yang baru memulakan langkah begitu juga dengan saya ketika bermula dulu,” katanya pada sesi pengenalan artis naungan Guzzbuzz Productions baru-baru ini.

Pada majlis itu, Bobb memperkenalkan artis naungannya iaitu Azan Scan dan Akid Aly dari Malaysia, manakala General Ling, Z-loco dan Ize Suliman dari Singapura.

Menariknya, setiap penyanyi punya karakter dan genre muzik berbeza yang dibawakan selain lagu-lagu Bahasa Melayu,

ada juga lagu berbahasa Mandarin/Hokkien dan juga berbahasa Inggeris.

Sementara itu, Bobb adalah penulis dan penerbit lagu yang mula aktif sejak tahun 2018.

Dalam tempoh hampir enam tahun, Bobb banyak menghabiskan masanya di studio rakaman di Malaysia dan juga Singapura.

Bobb turut menghasilkan banyak lagu untuk lebih puluhan artis. Beliau berharap dapat terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lagu-lagu buat artis Malaysia dan Singapura.

“Saya berharap dapat terus menghasilkan karya di sini di samping menjalin lebih banyak kerjasama dengan rakan industri di Malaysia.

“Semoga artis-artis Singapura naungan syarikat saya juga diterima oleh peminat di sini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular