33.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 3, 2026
Home Blog Page 30

Tiada ‘kursus lelong’, semua program akreditasi dijamin berkualiti dan relevan pasaran kerja – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan semua program pengajian tinggi yang telah mendapat akreditasi dijamin memenuhi piawaian kualiti serta kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya menolak dakwaan segelintir pihak mengenai kewujudan apa yang digelar sebagai ‘kursus lelong’ di institusi pendidikan tinggi (IPT), sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, setiap program pengajian yang ditawarkan di IPT, sama ada awam mahupun swasta, wajib melalui proses penilaian menyeluruh yang merangkumi kajian pasaran, reka bentuk kurikulum, kelayakan tenaga pengajar serta penyediaan kemudahan fizikal dan akademik.

Proses ini dilaksanakan dengan teliti sebelum sesuatu program itu diluluskan dan diberikan akreditasi rasmi oleh MQA.

“Penilaian yang dijalankan oleh MQA turut meliputi aspek kandungan, pendekatan pengajaran dan hasil pembelajaran bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan – Era Baharu Kepimpinan, anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Turut hadir dalam persidangan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Mohammad Shatar berkata, semua program yang ditawarkan di IPT perlu disemak secara berkala, lazimnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali.

Bagi bidang yang mengalami perubahan pesat seperti teknologi maklumat dan komunikasi, semakan boleh dilakukan lebih awal bagi memastikan kurikulumnya kekal relevan dengan perkembangan industri.

“Universiti juga berkuasa untuk menamatkan atau membekukan program yang didapati tidak lagi relevan dengan keperluan semasa.

“Ini membuktikan komitmen berterusan pihak institusi dan MQA dalam memastikan hanya program yang benar-benar berkualiti dan berdaya saing dikekalkan,” katanya.

Tegasnya, MQA bukan sahaja berperanan sebagai badan pengakreditasi, tetapi juga sebagai penjaga mutu pendidikan tinggi negara dalam memastikan setiap graduan yang dilahirkan berdaya saing, berpengetahuan tinggi dan mampu memenuhi kehendak pasaran kerja global.

UPSI tarik perhatian lebih 4,000 pelajar baharu seluruh negara bagi sesi 2025/2026

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi terunggul negara apabila menerima kehadiran seramai 4,063 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi pengajian September 2025/2026.

Pendaftaran pelajar baharu yang berlangsung selama dua hari bermula 27 September menyaksikan kehadiran pelajar dari seluruh pelusuk negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Suasana Kampus Sultan Azlan Shah menjadi meriah dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga yang turut hadir memberikan sokongan kepada anak masing-masing yang memulakan fasa baharu dalam kehidupan akademik mereka.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kehadiran ribuan pelajar ini adalah bukti keyakinan masyarakat terhadap UPSI sebagai universiti pilihan utama dalam bidang pendidikan.

“UPSI bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi juga wadah untuk membina peribadi dan sahsiah diri.

“Legasi Suluh Budiman yang menjadi asas UPSI perlu terus disemai dalam jiwa setiap mahasiswa agar mereka menjadi insan yang menyinari keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, proses pendaftaran berjalan lancar sejak seawal jam 7.30 pagi hasil kerjasama pasukan sokongan universiti termasuk 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) serta Bahagian Keselamatan UPSI.

Sukarelawan ini memainkan peranan penting dalam menyusun atur barisan, menguruskan dokumentasi, dan membantu memudahkan urusan pelajar serta ibu bapa sepanjang proses pendaftaran.

“Sebagai bakal pendidik, mahasiswa UPSI perlu bijak mengimbangi kecemerlangan akademik dengan nilai adab dan akhlak, kerana itu adalah cerminan sebenar seorang insan berilmu,” katanya.

Turut hadir memeriahkan sesi pendaftaran ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang bersama-sama barisan pengurusan universiti seperti Timbalan Pendaftar Kanan, Maskana Ahmad, pengetua kolej kediaman serta kakitangan universiti bagi menyantuni pelajar dan ibu bapa mereka.

Dalam usaha memperkenalkan budaya universiti dan membina asas yang kukuh dalam kehidupan kampus, pelajar baharu dijadualkan mengikuti Minggu Orientasi pada 29 dan 30 September.

Program ini turut memberi ruang untuk membina jaringan persahabatan serta memperkenalkan ekosistem akademik yang akan ditempuhi sepanjang tempoh pengajian.

UPSI terus komited dalam melahirkan pendidik dan pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga berwibawa dalam membina masyarakat yang berilmu dan berakhlak.

Lagu ‘Menamakanmu Cinta’ Siti Nurhaliza jadi soundtrack rasmi sinetron RCTI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – MNC Pictures kembali mencuri perhatian pencinta drama televisyen apabila memperkenalkan sinetron terbaharu berjudul “Cinta Sepenuh Jiwa”, yang bakal menemui penonton secara eksklusif di saluran RCTI dalam masa terdekat.

Sinetron yang mengangkat kisah cinta penuh emosi dan makna ini menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Cut Syifa, Ibrahim Risyad dan Kenny Austin sebagai teraju utama.

Dengan jalan cerita yang menyentuh hati, sinetron ini dijangka menjadi antara naskhah yang meninggalkan kesan mendalam kepada penontonnya.

Menambahkan lagi keistimewaan naskhah ini adalah pemilihan lagu tema rasmi bertajuk “Menamakanmu Cinta”, ciptaan komposer terkenal Ade Govinda dan dinyanyikan oleh penyanyi tersohor Malaysia, Dato’ Seri Siti Nurhaliza.

Kolaborasi dua nama besar ini ternyata membawa kekuatan emosi tersendiri, menjadikan lagu berkenaan sebagai elemen penting dalam menjiwai kisah cinta yang dipaparkan dalam Cinta Sepenuh Jiwa.

Sejak dilancarkan, lagu “Menamakanmu Cinta” telah mencatat sambutan luar biasa daripada peminat muzik serantau.

Lirik video rasmi yang dimuat naik pada 18 Julai 2025 telah meraih lebih 3.3 juta tontonan, manakala Official Music Video yang diterbitkan pada 12 September 2025 telah ditonton lebih 395 ribu kali di YouTube.

Lagu ini turut mencatat kejayaan di platform digital lain, dengan lebih 4.9 juta putaran di YouTube Music dan 2.1 juta strim di Spotify, membuktikan ia bukan sekadar lagu tema biasa, malah menjadi fenomena dalam kalangan pencinta muzik.

Menurut Ade Govinda, “Menamakanmu Cinta” adalah refleksi sebenar terhadap emosi cinta yang mendalam sesuatu yang sangat selari dengan tema utama sinetron ini.

“Selaras dengan judul sinetronnya, Menamakanmu Cinta menjadi bentuk ungkapan rasa cinta yang kita rasakan kepada orang tersayang.

“Sepenuh jiwa kita mencintai seseorang tapi kadang tak sepenuh jiwa diungkapkannya. Jadi saya sendiri tak sabar untuk menyaksikan jalan cerita sinetron ini,” katanya.

Dengan gabungan antara skrip yang kuat, gandingan pelakon yang berbakat serta muzik latar yang mendalam, Cinta Sepenuh Jiwa diyakini bakal menjadi antara karya paling istimewa dalam dunia sinetron Indonesia tahun ini.

Drama ini juga menjanjikan pengalaman menonton yang penuh nilai kekeluargaan, kasih sayang dan emosi, menjadikannya pilihan ideal untuk tontonan seisi keluarga.

Penonton setia sinetron Indonesia diseru untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan penayangan perdana sinetron “Cinta Sepenuh Jiwa” hanya di RCTI, dalam masa terdekat.

Borneo Fashion Week 2025 kembali di Pavilion Damansara Heights, fesyen, kelestarian & warisan Borneo disatukan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia fesyen Asia bakal menyaksikan satu lagi lonjakan besar apabila Borneo Fashion Week (BFW) 2025 kembali membuka tirai dengan edisi yang lebih segar, berani dan berpaksikan nilai kelestarian.

Berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2025 di Pavilion Damansara Heights, acara fesyen ikonik ini bersedia membawa pereka tempatan dan antarabangsa ke pentas global menerusi tema “Fashion With Purpose”, yang menekankan pengaruh fesyen sebagai alat perubahan, pemeliharaan budaya dan pembangunan ekonomi.

Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, figura yang tidak asing dalam industri kecantikan dan fesyen tanah air juara Mrs. Malaysia Classique Globe 2023/2024, Naib Juara Miss Malaysia 1990 dan Dewi Remaja 1989, BFW lahir daripada aspirasi untuk mengangkat budaya masyarakat pribumi Borneo ke mata dunia melalui bahasa universal fesyen.

Sejak diperkenalkan, acara ini berkembang pesat menjadi antara platform fesyen paling berprestij di rantau Asia Tenggara, menghimpunkan bakat dari pelbagai latar belakang budaya, geografi dan disiplin kreatif.

“Borneo Fashion Week bukan sekadar tentang pakaian di atas pentas peragaan. Ia tentang identiti, kebanggaan dan keberadaan satu komuniti,” katanya Stephanie Alcantara, selaku Pengasas dan Pengarah Kreatif BFW.

Edisi kali ini menyaksikan komitmen jelas BFW terhadap agenda kelestarian, di mana setiap pereka diwajibkan menampilkan sekurang-kurangnya satu rekaan berkonsepkan lestari, sama ada melalui penggunaan bahan mesra alam, teknik kitar semula atau inovasi hijau dalam proses rekaan.

Pendekatan ini mencerminkan usaha serius BFW dalam menyelaraskan keindahan fesyen dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menerusi pendekatan “Fashion With Purpose”, festival ini turut menonjolkan peranan fesyen sebagai medium yang memelihara budaya sambil memperkasa komuniti.

Dari tekstil tradisional Borneo, seni pertukangan asli hingga ke interpretasi moden yang berani, setiap koleksi yang diperagakan membawa naratif tersendiri tentang akar budaya dan masa depan yang mampan.

“‘Fashion With Purpose’ bukan sekadar tema ia adalah falsafah kami. Fesyen boleh dan harus menjadi jambatan antara warisan dan inovasi, antara tempatan dan global,” kata Stephanie lagi.

Pemilihan Pavilion Damansara Heights sebagai lokasi rasmi BFW 2025 mencerminkan transformasi acara ini ke arah pengalaman yang lebih eksklusif dan imersif.

Dikelilingi suasana mewah dan kontemporari, lokasi ini menyokong aspirasi BFW untuk menjadi bukan sekadar pertunjukan fesyen, tetapi satu festival gaya hidup menyeluruh yang merangkumi seni, muzik, budaya dan kesejahteraan.

Kerjasama strategik dengan jenama dan institusi seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques serta Pavilion Damansara Heights sendiri mengukuhkan lagi kedudukan BFW sebagai acara yang menyatukan pelbagai industri di bawah satu bumbung dari kecantikan dan kesihatan, ke teknologi dan seni kraf.

“Kelestarian bukan sekadar tema tempelan ia disulam dalam keseluruhan pengalaman acara, dari pemilihan lokasi, bahan rekaan, ke produksi serta naratif persembahan. Dalam masa yang sama, identiti budaya Borneo kekal sebagai nadi utama,” katanya.

BFW 2025 turut menyaksikan penyertaan pereka dari Malaysia, Vietnam, Singapura dan Brunei, mencipta satu ekosistem inklusif yang membuka ruang kepada pelbagai suara kreatif dari serata Asia.

Antara pereka Malaysia yang akan mempersembahkan koleksi mereka termasuk Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, December Teo, GC Jade, Inayad, Ocely, Saerah, Barzwang, Jayk, Wan Bynun, Even Ong, Penan Bag, Maswira Majid, Nasha Prive dan Yacutha.

Dari negara jiran pula, nama-nama seperti Bianca dan Gracie (Vietnam), Hayden Ng dan Indra Mubarak (Singapura), serta Bilang (Brunei) bakal memeriahkan pentas peragaan dengan sentuhan eksklusif mereka.

Lebih menarik, pereka muda dan baharu turut diberikan peluang yang sama besar seperti pereka mapan dari segi liputan media, akses rangkaian profesional hinggalah kepada pendedahan antarabangsa.

Pendekatan ini menunjukkan komitmen BFW terhadap pemerkasaan bakat tempatan serta keterangkuman dalam industri fesyen.

Dengan sokongan pelbagai pihak dan pendekatan kolaboratif yang mantap, BFW kini dalam rundingan dengan beberapa pereka dan jenama antarabangsa untuk menyertai edisi tahun ini satu langkah strategik yang akan melonjakkan lagi reputasi Borneo Fashion Week ke persada dunia.

Stephanie turut menyuarakan harapannya agar BFW menjadi sebahagian daripada kempen “Visit Malaysia 2026” di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekaligus meletakkan BFW dalam kalendar tahunan acara pelancongan dan budaya negara.

“Saya mahu BFW dikenali bukan sahaja sebagai acara fesyen, tetapi sebagai hub kreatif serantau yang mempertemukan budaya, kelestarian dan inovasi.

“Ini adalah platform untuk membina kerjaya, mencipta peluang ekonomi dan memacu jenama tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Borneo Fashion Week 2025 bukan sekadar pertunjukan pakaian, tetapi satu gerakan kreatif yang mendefinisikan semula bagaimana fesyen boleh menjadi suara bagi budaya, alat untuk perubahan dan medium untuk memperkasa komuniti.

Dengan visi global yang berpaksikan identiti tempatan, BFW terus menjadi mercu tanda kebanggaan Malaysia dalam peta fesyen antarabangsa.

Pesta Kuih Bulan 2025 di Pavilion Bukit Jalil tawar mooncake eksklusif, perarakan tanglung & ganjaran menarik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Pesta Kuih Bulan yang penuh makna, Pavilion Bukit Jalil menjemput orang ramai untuk menyemarakkan suasana perayaan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui kempen istimewa bertemakan “Swoon Over Mid-Autumn”, yang berlangsung sehingga 6 Oktober 2025 di Level 2, Centre Court pusat beli-belah berprestij itu.

Menampilkan lebih daripada 20 jenama mooncake ternama, perarakan tanglung yang memukau, bengkel interaktif, persembahan kebudayaan serta ganjaran eksklusif buat pengunjung, festival tahun ini menjanjikan pengalaman menyambut Mid-Autumn yang bukan sahaja meriah, tetapi turut menyentuh nilai tradisi dan kebersamaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Retail Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Dato’ Joyce Yap berkata, kempen ini direka untuk menghidupkan kembali semangat Mid-Autumn dengan cara yang lebih inklusif dan bermakna.

“Mid-Autumn adalah salah satu perayaan yang paling dinanti-nantikan kerana ia membawa nilai kebersamaan dan kekeluargaan.

“Kami di Pavilion Bukit Jalil bukan sahaja menyediakan dekorasi meriah, malah turut menyusun pelbagai aktiviti yang dapat dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan daripada mencuba mooncake serta teh yang dipadankan sempurna, sehinggalah menyertai perarakan tanglung dan menyaksikan persembahan kebudayaan,” katanya.

Mooncake Tradisional & Inovatif Di Bawah Satu Bumbung

Antara tarikan utama festival ini adalah koleksi mooncake pelbagai variasi, merangkumi pilihan halal dan bukan halal, daripada resipi klasik hingga ke ciptaan moden yang unik.

Mooncake Bird’s Nest dari JYNNS tampil sebagai pilihan mewah yang menggabungkan kesihatan dan kemewahan, manakala mooncake coklat daripada Royce menawarkan kehalusan rasa yang memanjakan deria.

Jenama terkenal seperti Oloiya dan Yong Sheng pula membawakan resipi warisan yang menggamit nostalgia, termasuk mooncake bersijil halal yang menjadi pilihan ramai.

Untuk cita rasa yang lebih premium, Grand Harbour hadir dengan mooncake berasaskan ramuan terpilih, manakala Herbal Farmer menampilkan pilihan sihat seperti inti kacang merah, lotus dan lima jenis kekacang.

Bagi melengkapkan pengalaman, pengunjung boleh menikmati padanan teh eksklusif daripada jenama seperti ChuChat, Mixue dan YuYan Tea, yang semuanya dirancang khas untuk menaikkan rasa mooncake dan mewujudkan suasana santai yang harmoni.

Ambien Meriah dan Ganjaran Istimewa

Pavilion Bukit Jalil turut diterangi dengan hiasan tanglung dari Fine Star Lanterns, mencipta suasana yang mempesona dan sesuai untuk merakam kenangan indah bersama insan tersayang.

Pengalaman membeli-belah juga dipertingkatkan dengan penglibatan penyewa utama seperti Grandmama’s, The Food Merchant, Lavender, Oriental Kopi, Din Tai Fung, Inside Scoop, dan banyak lagi yang menawarkan pelbagai jenis mooncake di seluruh pusat beli-belah.

Tidak ketinggalan, teh berherba moden dari Que Tang Yu Fang di Level 2 turut menjadi tarikan bagi mereka yang mengutamakan kesejahteraan dalam setiap hidangan.

Perarakan Tanglung & Hadiah Menarik Menanti

Sebagai kemuncak sambutan, satu perarakan tanglung berskala besar bakal diadakan pada 4 Oktober 2025 (Sabtu).

Pusat beli-belah ini akan disinari oleh cahaya tanglung yang dibawa oleh kanak-kanak dan keluarga, mewujudkan satu panorama yang cukup indah dan penuh simbolik.

Penyertaan adalah percuma dan boleh dilakukan melalui aplikasi mudah alih Pavilion Privileges, dan pendaftaran awal melayakkan peserta menerima hadiah eksklusif termasuk tanglung kertas dan beg perayaan.

Selain itu, Pavilion Bukit Jalil turut menawarkan kempen Gift-With-Purchase (GWP), yang memberikan ganjaran menarik seperti baucar Parkson bernilai RM20 dan pas menonton wayang kepada pengunjung yang berbelanja dari 19 September hingga 6 Oktober 2025, selagi stok masih ada. Penebusan boleh dibuat di Kaunter Penebusan Hadiah di Level 4 (Pink Zone).

Pusat Sambutan Mid-Autumn Pilihan Keluarga

Dengan gabungan budaya, makanan, hiburan dan hadiah menarik, Pavilion Bukit Jalil mengangkat sambutan Mid-Autumn ke tahap yang lebih tinggi.

Ia bukan sekadar lokasi membeli-belah, tetapi destinasi pertemuan yang menyatukan semua lapisan masyarakat untuk meraikan tradisi dan mencipta memori baharu bersama.

Rafidah Ibrahim berdepan risiko sita aset dan bankrap akibat gagal bayar saman RM281,000

editormaxinfo@gmail.com

BATU CAVES – Selebriti dan aktivis masyarakat, Rafidah Ibrahim bakal berdepan tindakan undang-undang lebih tegas termasuk penyitaan aset dan kemungkinan difailkan kebankrapan, selepas gagal menjelaskan bayaran saman fitnah berjumlah RM281,000 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai 2024.

Tindakan itu bakal diambil oleh ahli perniagaan, Datuk Haris Embong, bersama syarikat miliknya, Arisprop Holdings Sdn Bhd, selepas tempoh lebih setahun diberikan kepada Rafidah untuk mematuhi keputusan mahkamah masih tidak diendahkan.

Menurut Datuk Haris yang juga Pengarah Urusan Arisprop, langkah ini bukanlah keputusan mudah, namun ia perlu diambil bagi memastikan keputusan mahkamah dihormati serta menjaga kredibiliti beliau dan syarikat selepas reputasi mereka tercalar akibat tuduhan tidak berasas.

“Sejak isu ini timbul, saya dan syarikat berdepan pelbagai persepsi negatif. Kami dihujani komen serta tuduhan daripada netizen, yang secara langsung menjejaskan nama baik kami di mata umum dan juga rakan niaga,” katanya pada sidang media yang diadakan hari ini.

Saman fitnah itu difailkan oleh Datuk Haris dan Arisprop Holdings pada November 2021, susulan dua hantaran media sosial yang dimuat naik Rafidah Ibrahim pada September dan Oktober tahun sama.

Dalam hantaran itu, Datuk Haris didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral, manakala Arisprop Holdings dituduh menjalankan perniagaan secara tidak beretika.

Selepas melalui perbicaraan selama dua hari pada 16 dan 17 Mei 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan pada Julai tahun lalu bahawa Rafidah bersalah memfitnah Datuk Haris dan syarikatnya.

Mahkamah mengarahkan Rafidah membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datuk Haris dan RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain kos guaman RM30,000 serta fi alokator RM1,200.

Jumlah keseluruhan yang diperintahkan mencecah RM281,200, dengan kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga bayaran selesai.

Datuk Haris berkata, pihaknya telah mendapatkan nasihat perundangan daripada firma guaman Tetuan Izral Partnership untuk meneliti langkah seterusnya.

“Kami kini sedang mempertimbangkan pilihan undang-undang termasuk menyita aset atau memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Rafidah Ibrahim, memandangkan tiada sebarang bayaran dibuat sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, tindakan ini bukanlah bermotifkan dendam peribadi, sebaliknya bertujuan membersihkan nama serta memastikan keadilan ditegakkan.

“Saya menghormati undang-undang dan percaya sistem kehakiman negara telah memberikan keputusan yang adil. Kini tiba masanya keputusan itu dipatuhi,” katanya.

Kes ini menjadi peringatan penting kepada orang ramai bahawa fitnah, terutamanya di media sosial, boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.

Ia juga menggariskan kepentingan mempertahankan reputasi dan maruah melalui saluran yang sah.

Eira Syazira, Nabila Maharani luncurkan kolaborasi serantau,‘Bawang Merah Bawang Putih’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dua nama besar dalam dunia hiburan serantau, Eira Syazira dari Malaysia dan Nabila Maharani dari Indonesia, kini bergabung tenaga dalam sebuah projek muzik yang dinanti-nantikan.

Mereka melancarkan single terbaru berjudul ‘Bawang Merah Bawang Putih’, yang kini boleh didapati di semua platform digital streaming utama serta saluran rasmi YouTube Trisna Music.

Single bergenre pop ini adalah hasil karya istimewa yang ditulis sepenuhnya oleh Tri Suaka (Trisuaka), yang turut terbabit dalam penyusunan muzik bersama Ardy Goliath.

Proses rakaman lagu ini telah dijalankan di Studio Trisna Music, Jogjakarta, menyaksikan kolaborasi kreatif antara pemuzik-pemuzik hebat dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan muzik serantau yang semakin berkembang.

Projek muzik ini dijayakan di bawah naungan dua syarikat hiburan terkemuka, iaitu ES Arjuna Management (Malaysia) dan Positif Art Entertainment (Indonesia).

Kerjasama ini bukan sahaja memperlihatkan kebolehan kedua-dua artis, tetapi juga melambangkan semangat kesatuan dalam industri hiburan serantau, menghubungkan Malaysia dan Indonesia melalui medium muzik yang universal.

Lebih istimewa lagi, keseluruhan projek ini daripada penghasilan lagu hingga ke produksi video muzik menerima sokongan penuh daripada Candyta, sebuah jenama produk penjagaan rambut yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna.

Video muzik untuk lagu ini, yang turut dirakam di Jogjakarta, mengangkat kisah klasik Bawang Merah Bawang Putih.

Ia menggambarkan perjuangan watak Bawang Putih, yang sering diperlakukan tidak adil oleh ibu dan adik tirinya, sebelum akhirnya diselamatkan oleh seorang putera berkuda.

Kisah penuh emosi ini dijangka akan menyentuh hati penonton, dengan visual sinematik yang membawa penonton menghayati cerita lama dengan pendekatan moden.

“Kolaborasi ini bukan hanya sekadar pertemuan dua suara hebat dari dua negara, tetapi juga sebuah jambatan budaya yang menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muzik,” kata Azad Jazmin, wakil pengurusan projek ini.

Azad berkata, projek ini adalah contoh terbaik bagaimana seni dan muzik mampu melintasi sempadan negara dan membina hubungan erat antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

“Bawang Merah Bawang Putih” kini telah pun dilancarkan di semua platform digital sejak 9 September 2025 dan peminat muzik di kedua-dua negara serta seluruh Nusantara dijemput untuk merasai momen bersejarah ini.

Lagu ini dijangka bakal menjadi hit besar, dengan menggabungkan keunikan suara dua penyanyi hebat dan mesej mendalam yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Konsert Lagenda Nada Murni 2025, Hijjaz dan Rabbani kembali bersatu selepas tiga dekad

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, dua nama besar dalam dunia nasyid tanah air Hijjaz dan Rabbani bakal kembali bergabung di atas satu pentas menerusi Konsert Lagenda Nada Murni, sebuah acara istimewa yang bakal mengimbau era kegemilangan nasyid 1980-an.

Dianjurkan oleh Karri Talk Production dan Westzone Entertainment, konsert ini akan berlangsung pada 7 Disember 2025, bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bermula jam 8 malam.

Acara ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi juga adalah satu pertemuan semula penuh makna antara bekas ahli kumpulan nasyid legenda Nada Murni, yang kini dikenali menerusi dua kumpulan terkenal Hijjaz dan Rabbani.

Wakil penganjur berkata, Konsert Lagenda Nada Murni adalah satu penghormatan terhadap perjalanan muzik nasyid tanah air, di samping menjadi wadah untuk menyatukan kembali nostalgia peminat terhadap lagu-lagu nasyid yang pernah mencetus fenomena pada zamannya.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah peristiwa bersejarah yang mempertemukan kembali insan-insan seni yang pernah menyatu di bawah nama Nada Murni.

“Ia akan menjadi malam yang penuh emosi, kenangan dan spiritual, tatkala muzik menyatukan kembali kita semua,” katanya.

Penonton bakal disajikan dengan deretan lagu klasik yang pernah mempopularkan Nada Murni, antaranya “Di Pondok Kecil,” “Di Sini Kami Berkumpul,” serta “Tanpa Agama” yang pasti akan menghidupkan kembali nostalgia era 80-an.

Persembahan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan istimewa seperti Saujana, Akhil Hayy dan Pak Dinie, yang akan tampil selaku juri jemputan dalam satu segmen khas semasa konsert.

Konsert berdurasi dua jam ini menjanjikan pengalaman rohani dan hiburan yang menyentuh jiwa, melalui harmoni vokal dan lirik yang sarat dengan mesej dakwah serta nilai murni.

Ia adalah peluang yang cukup istimewa buat para peminat nasyid untuk menyaksikan penyatuan semula yang sudah lama dinanti.

Jualan tiket rasmi akan bermula pada 26 September 2025, secara eksklusif melalui platform ILASSO TICKETS dan FANTOPIA.

Menariknya, sistem jualan tiket telah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Lelaki (Men Section), Wanita (Women Section), dan Keluarga (Family Section) satu inisiatif mesra penonton yang menghormati keselesaan serta keharmonian suasana konsert.

Harga tiket pula ditawarkan pada empat kategori bermula dari RM128, RM218, RM238 sehingga RM258. Dengan jangkaan sambutan luar biasa, peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Buat generasi yang membesar bersama irama nasyid, nama Nada Murni bukanlah sesuatu yang asing. Ditubuhkan sekitar tahun 1987, kumpulan ini pernah menggegarkan pentas nasyid negara dengan lagu-lagu seperti “Bila Nur Melimpah Di Hati” dan “Nun Di Sana”.

Uniknya, mereka memulakan perjalanan seni dengan merakam lagu dalam saluran air (gelung) di Kampung Sungai Penchala, memandangkan ketika itu mereka belum memiliki studio atau peralatan muzik yang lengkap.

Lagu-lagu mereka hanya disampaikan melalui satu nada namun tetap mampu menyentuh hati pendengar.

Pada tahun 1994, kumpulan ini berpecah, dengan anggotanya membawa haluan baharu dan menubuhkan kumpulan Rabbani dan Hijjaz, dua nama yang kemudiannya mencipta sejarah tersendiri dalam dunia muzik nasyid tanah air.

Kini, setelah sekian lama penyatuan semula mereka dalam Konsert Lagenda Nada Murni pastinya menjadi detik bersejarah buat industri nasyid dan peminat muzik Islamik di Malaysia.

Jam pintar HUAWEI baharu kini boleh pra-tempah, hadiah percuma bernilai sehingga RM1,305

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei Consumer Business Group (CBG) Malaysia mengumumkan dua peranti boleh pakai terbaharunya, HUAWEI WATCH GT 6 Series dan HUAWEI WATCH Ultimate 2, bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada 29 September 2025.

Menerusi pengenalan global di Paris baru-baru ini, kedua-dua jam pintar ini menampilkan inovasi terkini yang menggabungkan ketahanan bateri luar biasa, ciri kecergasan canggih dan rekaan premium yang memenuhi keperluan pengguna harian serta pengembara lasak.

Mengambil inspirasi daripada semangat “Ride the Wind”, siri HUAWEI WATCH GT 6 direka dengan gabungan ketahanan dan keanggunan.

Model GT 6 Pro dan GT 6 46mm mampu bertahan sehingga 21 hari, manakala GT 6 41mm pula menawarkan ketahanan bateri sehingga 14 hari, menjadikannya antara jam pintar paling tahan lama dalam pasaran.

Sistem Sunflower Positioning yang dipertingkatkan juga diperkenalkan untuk ketepatan penjejakan lokasi yang lebih tinggi.

Bagi pengguna yang mengutamakan aktiviti luar, WATCH GT 6 Pro menawarkan mod sukan lanjutan seperti lari denai, golf, selam bebas sehingga 40 meter, dan sukan musim sejuk seperti ski.

Huawei turut memperkenalkan teknologi baharu cycling virtual power, yang membolehkan penunggang basikal mengukur intensiti kayuhan secara tepat dan saintifik ciri yang biasanya hanya terdapat pada alat pengukur kuasa khusus. Kini, semua itu boleh dipantau terus di pergelangan tangan.

Sistem TruSense baharu dalam siri ini juga menawarkan pengesanan emosi pelbagai dimensi, pemantauan kesihatan menyeluruh serta kawalan kesihatan kardiovaskular yang berterusan, menjadikan ia alat pemantauan kesihatan harian yang komprehensif.

Bermula hari ini, pengguna boleh membuat pra-tempahan siri HUAWEI WATCH GT 6 dengan hanya RM50 deposit dan berpeluang menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM446, termasuk HUAWEI FreeBuds 6i dan keahlian 3 bulan HUAWEI Health+.

Tawaran ini boleh didapati di semua HUAWEI Experience Stores, laman web rasmi HUAWEI, serta platform e-dagang rasmi seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Sementara itu, HUAWEI WATCH Ultimate 2 pula tampil sebagai jam pintar pertama di dunia yang menerima pensijilan menyelam sehingga kedalaman 150 meter, menjadikannya pilihan utama pengembara maritim.

Ciri komunikasi bawah air berasaskan sonar membolehkan pengguna menghantar isyarat kepada rakan menyelam sehingga 30 meter, tanpa memerlukan peralatan tambahan.

Ia turut dilengkapi fungsi SOS bawah air yang menyokong jarak sehingga 60 meter, mempertingkatkan aspek keselamatan ketika menyelam.

Dari segi rekaan, WATCH Ultimate 2 menggunakan logam cecair berasaskan zirkonium, dilengkapi bezel seramik dwi-warna nanokristal dan kaca nilam, menjadikannya tahan lasak namun bergaya.

Mod Ekspedisi pula menyokong lebih 17,000 peta padang golf global, lengkap dengan fungsi zum, pelarasan jarak cerun dan ulangan trajektori, di samping sokongan peta luar talian dan navigasi pulang.

WATCH Ultimate 2 juga menampilkan teknologi gap antenna dan sistem penjejakan Sunflower untuk kestabilan sambungan walaupun di lokasi terpencil.

Ciri keselamatan lain termasuk pengesan jatuh, SOS kecemasan dan pemantauan altitud tinggi. Fungsi baharu X-TAP Fingertip Sensing bekerjasama dengan sistem TruSense dan Health Glance untuk menyediakan pemantauan kesihatan menyeluruh seperti ECG, tahap oksigen dalam darah dan banyak lagi.

Ketahanan bateri sehingga 11 hari memastikan pengguna kekal bersambung, selamat dan dimaklumkan walau di mana jua.

Pra-tempahan untuk HUAWEI WATCH Ultimate 2 juga dibuka dengan deposit hanya RM50, disertakan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM1,305, termasuk HUAWEI FreeClip, perlindungan HUAWEI Care+ selama 2 tahun dan keahlian 3 bulan HUAWEI Health+.