25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 12, 2026

As Sofa rancang bina Kolej Universiti Islam RM15 juta di Rembau, perkukuh pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) terus melakar langkah strategik dalam memperkukuh landskap pendidikan Islam negara apabila merancang pembinaan Kolej Islam As Sofa bertaraf universiti dengan anggaran kos RM15 juta di Rembau, Negeri Sembilan.

Projek pembangunan kampus kekal itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan akan dibina di atas tanah seluas 3,251 meter persegi.

Pembinaan itu disifatkan sebagai mercu tanda penting dalam usaha SEG memartabatkan pendidikan berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah secara lebih tersusun, komprehensif dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof berkata, pembinaan bangunan kekal lengkap dengan prasarana adalah antara syarat utama yang perlu dipenuhi bagi membolehkan sesebuah institusi dinaik taraf ke peringkat kolej universiti.

Menurut beliau, sebagai langkah awal merealisasikan hasrat berkenaan, pihaknya telah menganjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana permulaan bagi menampung sebahagian kos pembinaan kampus terbabit.

“Pembinaan kampus dirancang di Mantau, Negeri Sembilan, namun tapak berkenaan didapati tidak sesuai.

“Percubaan seterusnya di Hulu Langat juga terpaksa dibatalkan berikutan kekangan bekalan elektrik yang tidak mencukupi bagi menyokong operasi bangunan berskala besar.

“Selepas perbincangan bersama Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yassin pada tahun lalu, kami mencapai persetujuan untuk membina kolej universiti ini di Rembau.

“Hasil sumbangan yang diterima pada majlis makan malam amal itu setakat ini berjumlah RM150,000,” katanya.

Tambahnya, jumlah dana yang dikumpulkan masih belum mencukupi dan pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat serta pihak korporat bagi memastikan pembinaan kampus berkenaan dapat direalisasikan mengikut perancangan.

Majlis makan malam amal itu turut dihadiri Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, selain empat ulama dari Arab Saudi yang juga keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris iaitu Prof. Dr. Sayyid Toha ibn Sayyid Muhammad al Hasan al Idrisi, Sayyid Walid ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi, Sayyid Ali ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi dan Dr. Sayyid al Hasan ibn Sayyid Ali al Idrisi.

Menurut Dr. Mohd. Amirul Isma, majlis itu turut diadakan bagi meraikan graduan As Sofa yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, selain meraikan kejayaan Sheikh Muhammad Fuad memperoleh ijazah PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi pada Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd. Sufi Ibrahim al Hafiz berkata, antara syarat utama penubuhan kolej universiti ialah keupayaan menampung sekurang-kurangnya 1,000 pelajar serta penawaran program pengajian yang mendapat akreditasi.

“Setakat ini Kolej Islam As Sofa menawarkan empat program pengajian, dengan dua daripadanya telah menerima kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Pihak pengurusan juga sedang giat melengkapkan syarat lain, termasuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga pengajar memiliki kelayakan Doktor Falsafah.

“Pembinaan kampus tetap ini akan melengkapkan sistem pendidikan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan As Sofa yang merangkumi pendidikan bermula dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat kolej,” katanya.

Katanya lagi, As Sofa memiliki keunikan tersendiri dengan menawarkan pendidikan arus perdana yang seimbang bersama tarbiah dan pengajian turath, selain menjalin hubungan akademik eksklusif dengan Maghribi dengan menghantar lebih 170 pelajar ke negara itu dalam tempoh 12 tahun lalu.

“Selepas 14 tahun beroperasi dengan menyewa bangunan, sudah tiba masanya As Sofa memiliki kampus sendiri.

“Kami komited untuk merealisasikan pembinaan kampus tetap ini demi masa depan pendidikan Islam negara,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi pembinaan Kolej Islam As Sofa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 8604424793 atas nama Kolej Islam As Sofa atau menghubungi Ustaz Shah di talian 013-210 7642 untuk maklumat lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular